PUTRAJAYA menangguhkan peralihan Malaysia dari fasa pandemik masuk ke fasa endemik penularan Covid-19 susulan varian baharu Omicron yang dikesan di serata dunia, umum Menteri Kanan Pertahanan Hishammuddin Hussein.
“Mesyuarat Kuartet Covid-19 hari ini memutuskan untuk menangguhkan seketika usaha kita untuk beralih ke fasa peralihan ke endemik sehingga kita mengetahui lebih lanjut tentang Omicron,” katanya dalam satu kenyataan petang ini.
Kuartet Covid-19 disertai Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin Abu Bakar, Menteri Komunikasi dan Multimedia Annuar Musa, dan Menteri Kewangan Tengku Zafrul Aziz.
Pada masa sama, mesyuarat juga setuju untuk mengenakan kawalan sempadan antarabangsa yang lebih ketat melibatkan negara-negara yang telah melaporkan penyebaran varian Omicron.
“Kementerian Kesihatan akan umum secara terperinci tidak lama lagi,” tambah Hishammuddin.
Hishammuddin bagaimanapun berkata tatacara pencegahan penularan Covid-19 yang sedia terpakai bagi negeri-negeri Fasa 3 dan Fasa 4 bawah Pelan Pemulihan Negara masih kekal.
“Rakyat diharapkan agar terus berwaspada dan berdisiplin dalam menjaga keselamatan diri dan orang sekeliling,” katanya.
Semalam Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengumumkan varian Omicron boleh merebak ke seluruh dunia dan mempunyai risiko penularan yang sangat tinggi dengan kesan buruk di sesetengah tempat.
Varian baharu itu mula dikesan di Afrika Selatan pada 24 November, lalu membawa kepada beberapa langkah pencegahan termasuk sekatan dan nasihat perjalanan melibatkan beberapa negara Afrika.
Malaysia mulai 27 November mengenakan sekatan perjalanan ke tujuh negara Afrika iaitu Botswana, Eswatini, Lesotho, Mozambique, Namibia, Afrika Selatan dan Zimbabwe.
Kemunculan varian baharu ini juga menghangatkan semula debat dalam kalangan pakar kesihatan dan sosial mengenai sikap sambil lewa negara kaya dunia untuk memastikan agihan vaksin Covid-19 yang lebih adil dan saksama ke negara miskin. – 30 November, 2021.
Komen