JEPUN semalam mengesahkan kes pertama Covid-19 melibatkan varian Omicron, sehari selepas pihak berkuasa mengumumkan sekatan sempadan baharu.
“Mengenai pengembara yang tiba dari Namibia, ia disahkan sebagai kes Omicron selepas analisis di Institut Penyakit Berjangkit Kebangsaan,” kata jurucakap kerajaan Hirokazu Matsuno kepada pemberita.
“Ini adalah kes Omicron pertama yang disahkan di Jepun,” katanya sambil menambah pengembara yang dijangkiti itu merupakan seorang lelaki berusia 30-an kini diasigkan di kemudahan perubatan.
Kes itu dikesan semasa ujian rutin di lapangan terbang. Jepun menguatkuasakan perintah untuk melaksanakan ujian Covid-19 sebelum melakukan perjalanan ke negara itu dan apabila mereka mendarat.
Pengumuman itu dibuat sehari selepas Jepun mengetatkan lagi peraturan sempadannya, menyekat semua ketibaan asing baharu hanya beberapa minggu selepas melonggarkan peraturan ketat untuk membenarkan beberapa pelajar dan pengembara perniagaan masuk.
Peraturan baharu itu bermakna hanya warga Jepun dan penduduk asing sedia ada boleh memasuki negara itu dengan sedikit pengecualian dan mereka yang mempunyai kes Omicron yang diketahui memerlukan kuarantin hotel antara tiga hingga 10 hari.
Jepun sudah merekodkan lebih 18,300 kematian akibat koronavirus semasa wabak itu selain mengelak sekatan yang ketat.
Selepas permulaan yang perlahan, program vaksinasinya meningkat dengan pantas dan hampir 77% daripada populasi diberi vaksin sepenuhnya. – AFP, 30 November, 2021.
Komen