AHLI Parlimen Pulai Salahuddin Ayob memfailkan usul di Parlimen untuk membahaskan kenaikan harga barangan secara drastik dengan segera.
Melalui akaun Twitternya hari ini Salahuddin berkata beliau menerima rayuan daripada ahli perniagaan Syamsuri Mohd Zain mengenai kenaikan harga drastik.
“Kenaikan harga barang asas tanpa kawalan ini menjejaskan kos sara hidup dan memberi tekanan bukan sahaja kepada pengguna bahkan kepada golongan peniaga kecil.
“Saya percaya isu ini adalah berkenaan kepentingan orang ramai yang berkehendak disegerakan selari dengan peruntukan Peraturan Mesyuarat 18(1)(2). Saya dengan ini memfailkan usul untuk membincangkan isu ini di Parlimen,” katanya.
Kenyataan yang dimuat naik di Twitter pada 3.59 petang tadi turut disertakan salinan rayuan kepada Speaker Dewan Rakyat Azhar Azizan Harun.
Awal hari ini Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Alexander Nanta Linggi memberitahu Parlimen kerajaan akan menjual makanan dan barangan secara murah dalam jualan Keluarga Malaysia dua kali sebulan bagi membantu orang ramai berdepan kenaikan kos sara hidup.
Selain itu pegawai penguatkuasa juga akan menjalankan semakan harga ke atas 1,500 kedai yang menjual barangan keperluan, kata ahli Parlimen Kapit itu. – 30 November, 2021.
Komen