SEBANYAK 4,879 kes baharu Covid-19 dilaporkan setakat 12 tengah hari tadi, naik sedikit berbanding 4,087 yang direkodkan semalam, kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah.
Pertambahan itu menjadikan jumlah keseluruhan jangkitan kini mencecah 2.63 juta kes, katanya di Twitter.
Data harian akan dikemaskini sekali gus di laman web CovidNow selepas tengah malam.
Sementara itu, kadar kebolehan jangkitan atau R-Naught seluruh negara berada pada paras 0.95, menurut Dr Noor Hisham.
Setakat semalam, seramai 22,665,493 individu atau 96.8% daripada populasi dewasa di negara ini lengkap menerima suntikan vaksin Covid-19, manakala 98.3% pula telah menerima sekurang-kurangnya satu dos.
Bagi populasi remaja berumur 12 hingga 17 tahun, seramai 2,705,253 atau 85.9% orang telah lengkap vaksinasi manakala 2,819,774 atau 89.5% menerima sekurang-kurangnya satu dos. – 30 November, 2021.
Komen