
PUTRAJAYA tidak boleh mengarahkan perkhidmatan penstriman seperti Netflix untuk menghentikan tayangan kandungan berkaitan komuniti lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) kerana mereka beroperasi dari luar negara, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Annuar Musa.
“Perkhidmatan media Over-the-Top (OTT) seperti Netflix terletak di luar negara dan oleh itu kita tidak kenakan tindakan undang-undang terhadap mereka,” kata ahli Parlimen Ketereh pada sesi soal jawab di Parlimen hari ini.
Menteri itu menjawab soalan Wan Hassan Mohd Ramli (Dungun-PN) yang meminta kerajaan menyatakan langkah-langkah untuk membendung kandungan berkaitan LGBT dalam program yang tersedia dalam perkhidmatan penstriman dalam talian seperti Netflix.
Annuar berkata perkhidmatan penstriman OTT seperti Netflix mempunyai langkah kawalan mereka sendiri.
“Netflix menilai kandungannya untuk pengguna dan juga mempunyai pilihan kawalan ibu bapa.
“Tetapi akhirnya, kita perlu melakukan pemantauan sendiri kerana kerajaan tidak mempunyai alat untuk mengawal mereka,” kata Annuar.
Dalam soalan tambahan, Wan Hassan bertanya sama ada kerajaan akan mengurangkan bilangan perkhidmatan penstriman sejak Akta SKMM digubal pada 1998 sebelum peningkatan perkhidmatan penstriman.
“Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) boleh berhubung dengan pembekal sekiranya terdapat kandungan yang dianggap tidak sesuai di Malaysia.
“Tetapi bagi kerajaan, kita hanya ada program advokasi untuk membantu pengguna memilih dengan betul.
“Memang diakui terdapat laman permainan dan perjudian yang bertentangan dengan budaya kita dan menjejaskan sensitiviti kita. Tetapi kami hanya boleh mengawal platform yang didaftarkan di sini,” kata Annuar. – 30 November, 2021.
Komen