Buruan pengganti Wanndy kini bermula


Muzliza Mustafa

KEMATIAN Muhammad Wanndy Mohamed Jedi, yang selama ini bertanggungjawab merekrut anggota IS dan bertindak sebagai pakar propaganda, dalam satu serangan dron pada 30 April di Syria, mewujudkan satu ruangan kerja kosong dalam organisasi pengganas itu.

Siapa yang akan mengambil alih tempat Wanndy? Pihak berkuasa Malaysia percaya empat rakyat Malaysia yang kini berperang untuk IS di Syria pastinya sesuai untuk kerja itu.

Sumber risikan berkata Akel Zainal, Mohd Rafi Udin, Muhammad Fudhail Omar dan Zahar Abdullah masing-masing mempunyai peluang sama untuk menggantikan Wanndy, tetapi ada juga khabar angin berkata mereka berempat boleh bergabung untuk merekrut unit IS Malaysia-Indonesia.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Counter Terrorism Cawangan Khas Bukit Aman Ayob Khan Mydin Pitchay berkata empat individu itu banyak membantu menyebarkan propaganda IS dan merekrut ahli baharu organisasi pengganas itu selamat bertahun-tahun.

“Tugas penggerak utama mungkin dipindahkan kepada salah seorang yang mempunyai keupayaan terbaik untuk meneruskan agenda IS di sini,” katanya.

Nama: Mohd Rafi Udin (Abu Ain)

Umur: 51

Tarikh tiba di Syria: 1 Februari, 2014

Latar belakang: Bekas pemandu teksi yang ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri yang sudah dimansuhkan, kerana terbabit dalam kumpulan militan Kumpulan Mujahidin Malaysia (KMM), yang misinya untuk menggulingkan kerajaan.

Rafi merompak bank pada 2001 untuk mengumpul dana bagi kumpulan itu dan lari ke Indonesia bagi mengelak ditangkap.

Di Indonesia, dia menyertai Jemaah Islamiah (JI) dan mengambil bahagian dalam konflik Sulawesi dan Ambon di kepulauan Maluku. Dia ditahan di Palu, Sulawesi pada 2003 dan dipenjarakan setahun.

Ketika kembali ke Malaysia, dia ditahan di bawah ISA. Selepas dibebaskan, dia kembali bekerja sebagai pemandu teksi di Kuala Lumpur.

Latihannya sebagai militan bermula pada 1998 di Afghanistan.

Tahun lalu, dia menjadi rakyat Malaysia pertama yang memenggal kepala tahanan IS.

Dia juga memberikan lampu hijau kepada ahli IS di Asia untuk melancarkan serangan di tanah air masing-masing.

Di Malaysia, dia antara lain menyasarkan ibu pejabat polis Bukit Aman, untuk serangan IS.

Nama: Wan Mohd Aquil (Aqil Zainal/Akel Zainal)

Umur: 38

Tarikh tiba di Syria: 3 Januari, 2014

Latar belakang: Bekas pemain dram kumpulan popular Ukay dan memiliki kedai menjual barangan kelengkapan aktiviti luar di Malaysia sebelum berlepas ke Syria.

Katanya, dia yang merekrut pelajar Kolej Islam Antarabangsa Selangor Syamimi Faiqah, 21, yang ke Syria untuk menyertai IS pada 4 Oktober.

Akhbar harian melaporkan Syamimi lari untuk berkahwin dengan seorang militan IS dikenali sebagai Akel Zainal yang dikenali menerusi Facebook.

Nama: Muhammad Fudhail Omar

Umur: 25

Tarikh tiba di Syria: 2 Mei,  2014

Latar belakang: Bekas pekerja NGO dan pengguna Twitter yang aktif dengan nama @fudhailO. Dia kali terakhir dilihat online pada Ogos tahun lalu.

Namanya muncul dalam kertas tuduhan beberapa ahli IS yang ditahan di Malaysia, di mana mereka berkata menerima arahan daripada Fudhail untuk menjalankan aktiviti keganasan di negara ini.

Nama: Zahar Abdullah (Abu Zahar/ Zahar Pokloh)

Umur: 36

Tarikh tiba di Syria: 25 Oktober, 2014

Latar belakang: Bekas tentera dari Setiu, Terengganu yang ditugaskan di Kem Kukusan, Tawau, Sabah.

Dia bertukar menjadi IS selepas Ops Daulat di Lahad Datu yang mempertahankan serangan daripada pencerobohan Sulu.

Ketika standoff antara pasukan tentera Malaysia dan pejuang Sulu, anggota skuad Zahar ditembak mati. Zahar diarahkan tidak berbalas tembakan dan mengambil kedudukan selamat.

Marah dan kecewa, Zahar beralih kepada agama untuk mencari ketenangan.

Zahar ke Syria tanpa memberitahu adik beradiknya dan dia tidak rapat dengan mereka.

Dia merekrut anggota tentera Malaysia untuk IS menerusi Facebook dan biasanya sering berada di barisan depan.

Melihat daripada gambarnya bersebelahan mayat tentera di rejim Basyar, dia nampaknya berada di bahagian peperangan dan keganasan. – 21 Mei, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen