PENDUDUK di Bangsar, Kuala Lumpur yang terpaksa mengosongkan rumah mereka akibat kejadian tanah runtuh bulan lalu, kini berpindah masuk semula walaupun ada risiko kejadian berulang.
Mereka berbuat demikian susulan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengambil masa terlalu lama untuk menyiapkan kerja baik pulih banteng di kawasan itu, dan penduduk enggan meninggalkan rumah mereka tanpa dilindungi, kata seorang penduduk.
Walaupun kerja jangka pendek sudah siap dilakukan bagi menstabilkan curam itu buat sementara waktu, penduduk mempersoalkan bila kerja jangka panjang akan bermula, memandangkan tanah runtuh berlaku sebulan lalu.
Satu keluarga memberitahu The Malaysian Insight mereka kembali ke rumah pada Sabtu lalu kerana letih menunggu benda yang tidak pasti.
Seorang penduduk yang mahu dikenali sebagai Liu berkata setakat ini DBKL tidak ada memaklumkan yang penduduk tidak dibenarkan kembali ke rumah.
“Kami pertimbangkan semua risiko dan putuskan untuk kembali berpindah masuk ke rumah.
“Kami tidak dimaklumkan secara rasmi bila boleh kembali ke rumah. DBKL tidak beritahu apa-apa kepada kami.”
Pada 23 Oktober, tanah runtuh berlaku di Lingkungan Negeri Sembilan menjejaskan deretan rumah di kawasan lereng bukit di Jalan Limau Purut berikutan hujan lebat.
Pihak berkuasa memita tiga daripada lebih 30 rumah di situ berpindah selepas kejadian itu.
Ketua Polis Brickfields Amihizam Abdul Shukor pada masa itu berkata langkah berpindah keluar perlu dilakukan untuk keselamatan, walaupun tidak berlaku kematian atau kemusnahan.
Menerusi tinjauan baru-baru ini di kawasan berkenaan, cerun yang terjejas ditutup dengan rumput.
Liu berkata Penasihat Persatuan Penduduk Bukit Bandaraya M. Ali membantu penduduk berhubung dengan DBKL.
“Ali banyak membantu kami untuk menghubungi DBKL. Tetapi mereka tidak beritahu kami apa yang sedang dilakukan.
“Saya faham kerja pembaikan perlu dilakukan untuk menstabilkan cerun itu. Tetapi kami terpaksa berpindah balik ke rumah kerana tidak mahu rumah kami jadi sasaran kerana ia kosong.
“Kami juga tidak mahu terlalu lama terpaksa menumpang di rumah saudara mara.”
Liu berkata DBKL dan Institut Kerja Raya Malaysia (Ikram) yang membaiki cerun itu diharapkan dapat berhubung dengan penduduk.
“Kami mahu tahu rangka masa untuk kerja pembaikan cerun itu.”
Menunggu jawapan DBKL
Sementara itu, Ali berkata beliau ada berhubung dengan DBKL bagi pihak penduduk.
“DBKL sepatutnya lebih proaktif dan berhubung dengan penduduk untuk menyelesaikan isu ini,” katanya.
Beliau berkata pada 9 November, DBKL dan Ikram mengadakan taklimat di mana pihak berkuasa tempatan itu berkata terpulang kepada penduduk terjejas untuk berpindah masuk ke rumah masing-masing.
“Mereka berkata bomba yang pada awalnya menasihati penduduk terjejas untuk berpindah keluar, oleh itu penduduk kini boleh buat keputusan sendiri untuk kembali ke rumah.
“Saya rasa kenyataan itu sangat tidak bertanggungjawab,” kata Ali.
Penduduk kemudian membuat keputusan untuk kembali ke rumah masing-masing kerana bimbang keselamatan rumah dan harta benda mereka.
Ali berkata sekarang sudah hujung November dan DBKL atau Ikram tidak beri sebarang maklumat berkenaan perkembangan kerja baik pulih itu.
“Saya kecewa dan mempersoalkan mengapa DBKL melengahkan perkara ini. Saya minta Datuk Bandar Kuala Lumpur Mahadi Che Ngah campur tangan dalam hal ini dan memberi penyelesaian.
The Malaysian Insight cuba mendapatkan maklum balas DBKL dan masih menunggu jawapan. – 4 Disember, 2021.
Komen