Kerajaan tiada hasrat tetap harga siling kit ujian kendiri Covid-19


Ragananthini Vethasalam Chan Kok Leong

Kit ujian kendiri Covid-19 kini dijual pada harga serendah RM4.90. – Gambar fail The Malaysian Insight, 29 November, 2021.

PUTRAJAYA tidak bercadang menetapkan harga siling bagi kit ujian kendiri Covid-19, kata Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Rosol Wahid hari ini.

“Setakat ini, kerajaan tidak bercadang mengenakan harga siling bagi RTK (Rapid Test Kit) kerana kita mempunyai stok sebanyak 17 juta,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

“Kami berharap pasaran akan menentukan harga kerana kami bimbang akan berlaku manipulasi oleh pembekal dengan mereka (penjual) mungkin cuba menjual pada harga maksimum untuk mendapatkan keuntungan.”

Beliau menjawab soalan Salim Sharif (BN-Jempol) yang bertanya sama ada kerajaan bercadang menetapkan harga siling bagi kit ujian ini.

Rosol turut mengingatkan orang ramai yang ingin membeli kit ujian secara dalam talian supaya memastikan syarikat yang menjual kit itu mempunyai sijil Biztrust SSM (Suruhanjaya Syarikat Malaysia).

Kit ujian kendiri itu dijual pada harga RM39.90 ketika ia mula-mula dilancarkan ke pasaran.

Kerajaan mengumumkan harga runcit maksimum RM19.90 seunit, dan harga borong pada RM16 seunit pada 5 September.

Kit itu kini dijual pada harga serendah RM4.90. – 29 November, 2021.    


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen