SELEPAS hampir tiga minggu di hospital, seorang pegawai Parlimen berusia 54 tahun meninggal dunia kerana Covid-19 semalam, kata pihak berkuasa kesihatan hari ini.
Pengarah Kesihatan Kuala Lumpur dan Putrajaya, Dr Param Jeeth Singhdalam satu kenyataan berkata pegawai berkenaan sudah mendapat vaksinasi lengkap sejak 11 Julai dan tidak mempunyai penyakit kronik.
Param berkata pegawai itu hanya melakukan perjalanan antara tempat kerja dan rumah dalam tempoh dua minggu sebelum menunjukkan gejala serta tidak bertemu mana-mana ahli Parlimen atau senator.
Selepas mengalami batuk dan demam sejak 3 November lalu, Param berkata pegawai itu disahkan positif pada 8 November lalu.
Beliau diberitahu agar ke pusat penilaian Covid-19 (CAC) untuk pemeriksaan klinikal selepas didapati positif.
Pada 9 November, beliau memberitahu kakitangan kesihatan di CAC menghadapi masalah untuk bernafas.
Beliau kemudiannya diklasifikasikan dalam Kategori 4 dan dimasukkan ke Hospital Kuala Lumpur untuk rawatan.
“Beliau juga tidak hadir bekerja sejak mula mengalami simptom dan kali terakhir berada di pejabatnya pada 3 November,” kata Param.
“Empat kontak rapat – dua dari rumahnya dan dua lagi dari tempat kerja – sudah dikenal pasti dan keempat-empatnya menjalani kuarantin. Siasatan sedang dijalankan untuk mengenal pasti punca jangkitan,” tambahnya.
Sebanyak 30,309 orang meninggal dunia akibat Covid-19 di negara ini sejak wabak bermula. – 29 November, 2021.
Komen