RAYUAN rakyat Malaysia, Nagaenthran Dharmalingam terhadap hukuman matinya kerana mengedar dadah di Singapura tidak akan diadakan esok seperti dilaporkan sebelum ini, kata keluarganya.
“Saya dimaklumkan oleh peguam tiada perbicaraan esok,” kata kakak kepada Nagaenthran, Sharmila, kepada The Malaysian Insight.
Beliau berkata keluarga sudah menghubungi jabatan penjara bagi surat rasmi.
Beliau juga tidak tahu sama ada tarikh lain ditetapkan bagi rayuan kes adiknya, dan bilakah tarikh itu.
Keluarga Nagaenthran pada 25 November berkata tarikh pendengaran rayuannya ialah 30 November.
Peguamnya M Ravi, dalam siaran langsung Facebook hari ini, juga berkata perkara itu ditangguhkan dan sedang menunggu Mahkamah Rayuan Singapura untuk menetapkan tarikh baharu.
Nagaenthran, 33, sepatutnya dihukum mati pada 10 November tetapi ia mendapat bantahan kerana beliau kecacatan intelektual dengan IQ 69, yang lebih rendah daripada kebiasaan.
Beliau ditahan pada 2009 dan dijatuhi hukuman mati pada 2011 di bawah Akta Penyalahgunaan Dadah kerana mengimport secara haram 42.7 gram diamorphine yang diikat pada pahanya ketika memasuki negara itu dari Malaysia melalui pusat pemeriksaan Woodlands pada April 2009.
Rayuan pertamanya pada November 2011 gagal.
Selepas menerima tekanan awam, pihak pendaftar mahkamah Singapura menetapkan 9 November untuk rayuan baharu, tetapi perkara ini diselar oleh peguam hak asasi manusia dan aktivis anti-hukuman mati sebagai percubaan untuk menyegerakan proses hukuman Nagaenthran pada hari berikutnya seperti dijadualkan.
Pada 9 November, Nagaenthran dilaporkan positif Covid-19, dan hukuman ditangguhkan.
Perdana Menteri Malaysia Ismail Sabri Yaakob dan Yang di- Pertuan Agong meminta Singapura untuk mengkaji semula hukuman mati Nagaenthran memandangkan kekurangan intelektualnya. – 29 November, 2021.
Komen