Rakyat perlu mengundi atau kelebihan ditarik balik, kata ahli Parlimen PAS


Chan Kok Leong Ragananthini Vethasalam

Ahli Parlimen PAS Ahmad Fadhli Shaari berkata rakyat perlu diwajibkan mengundi atau hilang kelebihan tertentu.– Gambar fail The Malaysian Insight, 29 November, 2021.

RAKYAT perlu diwajibkan untuk mengundi atau kehilangan keistimewaan tertentu, kata ahli Parlimen PAS Ahmad Fadhli Shaari di Dewan Rakyat hari ini.

“Mungkin ada prosedur yang boleh digunakan supaya rakyat Malaysia terpaksa mengundi untuk mendapatkan keistimewaan tertentu,” kata ahli Parlimen Pasir Mas itu semasa perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2022 untuk kementerian belia dan sukan.

“Kerajaan harus mewajibkan pengundi untuk mengundi seperti cara mewajibkan vaksinasi Covid-19 (menggunakan keistimewaan),” kata Ahmad Fadhli.

Vaksinasi Covid-19 di Malaysia tidak wajib tetapi diwajibkan dengan cara menghalang orang yang tidak divaksin daripada merentas negeri atau luar negara, menjamu selera di restoran, menginap di hotel atau pergi ke kemudahan awam seperti pusat beli-belah dan rumah ibadat.

Terdahulu, Ahmad Fadhli menggesa kementerian belia dan sukan memasukkan kesedaran mengundi ke dalam sukatan pelajaran Kem Wawasan Negara.

“Walaupun pindaan Undi18 masih belum dilaksanakan, saya khuatir ramai yang tidak mengundi dan hak ini akan disia-siakan dan kempen Undi18 akan gagal.

“Oleh itu, kerajaan harus meningkatkan kempen kesedaran kepada golongan 18 tahun untuk mengundi sehingga masa kita boleh mewajibkan pengundian seperti vaksinasi Covid-19,” kata ketua Pemuda PAS itu.

Pilihan raya negeri Melaka baru-baru ini menyaksikan peratusan keluar mengundi terendah iaitu hanya 65.85% berikutan kebimbangan terhadap Covid-19 dan sekatan SOP. – 29 November, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen