Tarikh luput vaksin: Maklumat MySejahtera silap, kata KKM


Ravin Palanisamy

Beberapa individu yang ditemu bual The Malaysian Insight terkejut apabila mendapati vaksin Covid-19 yang diterima telah melepasi tarikh luput. – Gambar fail The Malaysian Insight, 29 November, 2021.

BEBERAPA individu terkejut apabila mendapati salah satu dos vaksin Covid-19 yang diterima telah melepasi tarikh luput penerimaan suntikan.

Sekurang-kurangnya tiga penerima yang ditemu bual The Malaysian Insight berkata perkara itu disedari apabila mereka menyemak kelayakan untuk suntikan dos penggalak.

Hasil semakan untuk dos kedua di aplikasi MySejahtera, mereka dapati ia sudahpun luput semasa suntikan diberi.

Seorang individu pula mendakwa dos pertama vaksin yang diterimanya luput, juga sebelum tarikh janji temu suntikan.

Kesemua pengadu ini adalah penerima vaksin AstraZeneca.

Seorang penduduk di Kuala Lumpur yang hanya mahu dikenali sebagai Previn berkata, berdasarkan semakan di MySejahtera tarikh dos kedua yang diterimanya sudah melepasi tarikh luput.

Previn berkata beliau menerima suntikan dos kedua pada 27 Julai 2021, tetapi tarikh luput vaksin yang dipaparkan di MySejahtera ialah 30 Jun.

“Kami percayakan program vaksinasi kerajaan, tetapi sekarang saya diberi vaksin yang sudah luput. Perkara ini tidak boleh diterima, sangat tidak bertanggungjawab. Saya mahu kerajaan bertanggungjawab atas apa yang berlaku,” kata lelaki berusia 27 tahun itu.

Bagi penerima vaksin Pfizer dan AstraZeneca, dos penggalak vaksin Covid-19 perlu diambil enam bulan selepas dos kedua.

Penerima vaksin Pfizer atau AstraZeneca yang menerima dos kedua pada Jun sepatutnya sudah menerima tarikh janji temu bagi suntikan dos penggalak.

Menurut data Kementerian Kesihatan (KKM) di laman web CovidNow, sebanyak 2,194,849 dos penggalak telah diberi di seluruh negara setakat 27 November.

Keseluruhannya, lebih 77% daripada populasi di negara ini telah lengkap divaksin sejak Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan dilancarkan pada 24 Februari lalu.

Bagi populasi dewasa pula, lebih 96% sudah menerima dos lengkap, manakala populasi remaja berusia antara 12 hingga 17 tahun pula sebanyak 84%.

Seorang lagi individu ditemu bual The Malaysian Insight, hanya mahu dikenali sebagai Amir, berkata beliau juga menerima dos pertama vaksin Covid-19 yang sudah luput.

“Saya terima suntikan dos pertama pada 17 Julai tetapi tarikh luput vaksin yang tertera di MySejahtera ialah 30 Jun.

“Saya risau, panik. Macam mana perkara ini boleh berlaku? Perkara ini melibatkan nyawa,” katanya.

Begitu juga seorang lagi penerima vaksin, Ming, berkata beliau diberi dos kedua vaksin AstraZeneca yang sudah melepasi tarikh luput.

“Saya sangat berharap ini hanya kesilapan teknikal. Perkara ini serius, kementerian sepatutnya buat semakan sebelum beri vaksin,” kata wanita berusia 30 tahun itu.

Kesemua tiga pengadu ini menerima vaksin dari kelompok yang sama iaitu A1013.

Seorang pegawai KKM ketika diminta mengulas perkara ini berkata apa yang berlaku adalah ekoran kesilapan merekod data dalam aplikasi MySejahtera.

Pegawai terbabit berkata perkara itu telah disemak dengan Program Perkhidmatan Farmasi kementerian, hasil semakan mendapati tarikh luput bagi vaksin AstraZeneca kelompok A1013 adalah 31 Oktober 2021, bukan 31 Jun seperti yang tertera pada MySejahtera.

Program Perkhidmatan Farmasi juga sedang menyemak dengan pentadbir sistem aplikasi MySejahtera untuk mendapatkan maklumat lanjut.

Pegawai KKM itu juga berkata sebarang aduan berkenaan tarikh luput vaksin boleh dikemukakan dengan menghantar sijil vaksinasi digital dalam format PDF melalui e-mel ke [email protected]. – 29 November, 2021.    


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen