MAJLIS Amanah Rakyat (Mara) akan mengadakan ujian khas untuk kemasukan ke Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) bagi pelajar Tingkatan 1 dan 4 tahun 2022 minggu depan.
Menteri Pembangunan Luar Bandar Mahdzir Khalid, berkata ujian kecenderungan kemasukan ke MRSM (UKKM), ujian khas Ulul Albab dan ujian teknikal bagi Tingkatan 1 dan 4 itu, bermula 3 Disember bagi calon yang berada di Kedah, Kelantan, Johor dan Terengganu.
“Manakala bagi calon dari negeri lain akan bermula pada 4 Disember 2021,” katanya pada sidang media selepas menyerahkan buku bacaan dan topi keledar kepada pengerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) bagi sekolah di bawah Parlimen Padang Terap, di pejabat pendidikan daerah Padang Terap di Kuala Nerang hari ini.
Mahdzir berkata, calon terbabit akan dipanggil menduduki ujian secara berperingkat sehingga 30 Januari tahun depan dengan semakan tarikh, masa dan tempat ujian boleh disemak secara dalam talian bermula jam 10 pagi esok, melalui portal rasmi Mara serta akan menerima notifikasi menerusi sistem pesanan ringkas (SMS) atau e-mel yang didaftarkan semasa permohonan.
Beliau berkata, calon tidak dibenarkan membuat sebarang pertukaran tarikh, masa dan tempat ujian yang ditetapkan.
“Semua calon akan menduduki ujian khas ini di 61 pusat ujian terpilih membabitkan 53 MRSM di seluruh Malaysia dan lapan Institusi Pendidikan Mara (IPMA) di Selangor dan Negeri Sembilan,” katanya.
Mahdzir berkata, calon UKKM akan dinilai berdasarkan subjek Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik, Sains dan Keperibadian.
“Saya mohon semua calon bersedia dan membuat persiapan lengkap menjelang hari peperiksaan dan mendoakan ujian ini berjalan dengan lancar,” katanya.
Sementara itu, Mahdzir berkata, Mara menerima sejumlah 57,122 permohonan untuk ke Tingkatan 1 manakala untuk Tingkatan 4 pula sebanyak 17,350 permohonan bagi sesi persekolahan tahun depan. – Bernama, 28 November, 2021.
Komen