KEMENTERIAN Pertanian dan Industri Makanan (Mafi) berusaha mencari jalan penyelesaian terbaik bagi membantu peladang dan petani yang terjejas dengan kenaikan harga baja dan racun, kata menterinya Ronald Kiandee.
Katanya, sebagai respons awal, kerajaan memperuntukkan RM232 juta termasuk menaikkan bantuan subsidi racun untuk pesawah daripada RM200 kepada RM300 sehektar untuk semusim.
“Tentu sekali ini tidak menyelesaikan isu kenaikan harga racun dan baja. Jadi kerajaan berusaha untuk mengambil langkah meringankan beban pengusaha pertanian kita.
“Apa yang kita hadapi sekarang suasana begitu mencabar kerana kenaikan harga komponen baja dan racun serta komponen makanan ternakan haiwan yang juga dihadapi oleh masyarakat dunia disebabkan oleh gangguan dalam pengeluaran bahan ini di peringkat antarabangsa,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan program ceria ke sekolah (CKS) Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) di Beluran, Sabah hari ini.
Ronald mengakui peningkatan kos bahan berkenaan juga mempengaruhi harga sayuran di pasaran.
Pada Khamis (25 November), Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan peruntukan respons awal itu dan mengarahkan Mafi, Kementerian Kewangan dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna untuk merangka dan memformulasi langkah mitigasi untuk menangani isu itu.
Mengenai program SESB itu, Ronald memuji syarikat korporat tampil menghulurkan bantuan kepada masyarakat luar bandar, khususnya mereka yang terkesan dengan pandemik Covid-19. – Bernama, 28 November, 2021.
Komen