Pakatan hilang sokongan Melayu di Melaka, kata Mat Sabu


Kekalahan pada PRN Melaka membolehkan PH mengukur iklim sebenar politik negara menuju PRU15, kata Presiden Amanah Mohamad Sabu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 28 November, 2021.

PRESIDEN Amanah Mohamad Sabu mengakui Pakatan Harapan (PH) kalah Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka antaranya kerana gabungan itu hilang sokongan pengundi Melayu, lapor Utusan Malaysia.

Kekalahan itu bagaimanapun membolehkan PH mengukur iklim sebenar politik negara menuju Pilihan Raya Umum ke-15, katanya.

“Bagi Amanah, kita lihat hilangnya sokongan orang Melayu kepada PH (dalam PRN Melaka). Baguslah PRN Melaka itu dibuat, dapat kita mengukur keadaan sebenar. 

“Oleh itu PH akan bermesyuarat Isnin ini bagi membincangkan hal ini,” katanya, seperti dipetik portal berita akhbar itu.

Beliau juga sekali lagi mengulangi pandangannya untuk mengukuhkan PH sejak hampir setahun lalu iaitu membanyakkan kawan dan mengurangkan lawan, serta pada masa sama membetulkan persepsi negatif terhadap gabungan itu.

Mohamad berpendapat cabaran utama PH ialah isu perkauman yang masih jadi modal politik untuk mendapatkan kuasa.

Dalam PRN Melaka 20 November, PH menang hanya lima daripada 28 kerusi yang dipertandingkan. Daripada lima kerusi itu, empat dimenangi oleh DAP sementara Amanah menang satu. 

PKR yang bertanding 11 kerusi, jumlah yang terbanyak dalam kalangan komponen PH, tidak menang satu kerusi pun.

Barisan Nasional mengekalkan pentadbiran di Melaka apabila menang 21 kerusi. Baki dua kerusi dimenangi Perikatan Nasional (PN).

Semasa PRU14, PH menang 15 kerusi. Pentadbiran PH diketuai bekas ketua menteri Adly Zahari bagaimanapun tumbang ekoran percaturan politik selepas Bersatu keluar PH pada Februari 2020. – 28 November, 2021. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen