HIDE atau sistem baharu, KKM perlu pastikan ia berfungsi, kata bekas menteri


Ravin Palanisamy

Bekas menteri kesihatan Dr Dzulkefly Ahmad berkata Putrajaya harus menjelaskan sama ada sistem HIDE masih digunakan dan untuk tujuan apa. – Gambar fail The Malaysian Insight, 29 November 2021.

SISTEM amaran berisiko tinggi Covid-19 untuk mengesan tanda awal peningkatan kes Covid-19 dialu-alukan tetapi kerajaan juga perlu menjelaskan apa yang terjadi kepada sistem Pengecaman Lokasi Panas untuk Libat Urus Dinamik (HIDE), kata dua bekas ahli Kabinet Pakatan Harapan.

Bekas menteri kesihatan Dr Dzulkefly Ahmad dan timbalan menterinya Dr Lee Boon Chye berkata Putrajaya harus menjelaskan sama ada sistem HIDE masih digunakan dan untuk tujuan apa.

HIDE juga diperkenalkan sebagai mekanisme amaran awal untuk mengenal pasti titik panas Covid-19 yang berpotensi. Tetapi ia dikritik oleh pengusaha premis komersial dan awam kerana menganggu perniagaan apabila mereka dikehendaki menutup serta merta operasi walaupun hanya “berpotensi” menjadi kawasan panas.

Sistem HIDE yang diperkenalkan oleh Khairy Jamaluddin pada Mei ketika beliau menjadi menteri sains, teknologi dan inovasi (Mosti). Pada Ogos beliau menjadi menteri kesihatan apabila Perdana Menteri baharu Ismail Sabri Yaakob melancarkan Kabinet baharu.

Minggu lalu Khairy Jamaluddin berkata Kementerian Kesihatan (KKM) akan memperkenalkan Sistem Amaran Berisiko Tinggi.

Sistem itu akan mencadangkan beberapa sektor diperketat sekiranya didapati berlaku peningkatan kes namun ia bukan sekatan pergerakan penuh.

Ini bagi memastikan penularan Covid-19 dapat dihentikan atau diperlahankan tanpa menjejaskan ekonomi.

Kedua-dua Dzulkefly dan Dr Lee berkata tidak ada maklum balas daripada kerajaan mengenai apa yang berlaku kepada HIDE.

Apabila HIDE dilancarkan pada Mei, terdapat senarai lebih 100 titik panas yang berpotensi termasuk pusat membeli-belah dan stesen LRT. Penutupan secara tiba-tiba menyebabkan kekeliruan besar dalam kalangan orang ramai dan pengendali.

Tiada senarai dikeluarkan sejak itu yang membawa kepada persoalan daripada beberapa pihak sama ada ia masih digunakan ataupun tidak.

Pada Ogos Khairy berkata sistem HIDE masih digunakan tetapi mendakwa data sistem itu tidak didedahkan kepada umum.

Sistem Amaran Berisiko Tinggi mesti lebih khusus 

Dzulkefly yang juga Pengerusi Pasukan Petugas Covid-19 Selangor mengalu-alukan Sistem Amaran Berisiko Tinggi sebagai alat penting ketika Malaysia menuju ke arah penularan Covid-19.

“Jika Sistem Amaran Berisiko Tinggi yang memanfaatkan teknologi ramalan, BDA dan AI diperkenalkan semula sebagai mekanisme untuk memudahkan prosedur operasi standard (SOP) merentas sektor yang berbeza dan untuk meningkatkan pematuhan serta campur tangan tindak balas - saya fikir ia adalah paling sesuai dan diperlukan terutamanya apabila kita beralih ke endemik.

“Negara seperti Singapura dan UK sudah lama memperkenalkan sistam amaran awal lampu isyarat sebagai cara komunikasi risiko dan tindak balas kepada kitaran lonjakan beralun trend Covid-19,” kata ahli Parlimen Kuala Selangor itu.

Dzulkefly berkata Selangor sudah mempelopori alat sedemikian sebelum ini - indeks SELAMAT.

Beliau berkata indeks SELAMAT mengambil kira trend jangkitan dan trajektori wabak serta mencadangkan satu set tindakan yang disarankan merentas empat sektor utama: pendidikan, industri penting dan tempat kerja, tempat ibdat dan mobiliti.

Dzulkefly berkata Sistem Amaran Berisiko Tinggi atau mana-mana alat atau sistem lain yang setara akan berguna dalam memudahkan SOP, menambah baik pematuhan dan pemantauan serta memberikan kejelasan yang amat diperlukan mengenai set tindakan yang dijangka daripada masyarakat. – 27 November, 2021.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen