JERMAN semalam mengesahkan dua kes pertama jangkitan varian baharu Covid-19 Omicron, dikesan pada pengembara yang tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Munich dari Afrika Selatan.
Kementerian Kesihatan dalam kenyataan berkata dua kes tersebut sah dikesan di Bavaria.
Individu terbabit tiba di Jerman pada Rabu dan kini dikuarantin selepas didapati positif Covid-19 selepas menjalani ujian saringan, tambahnya.
Sementara itu, seorang jurucakap kementerian itu berkata dua pengembara asing yang tiba di Bavaria menaiki pesawat dari Cape Town, Afrika Selatan pada Jumaat juga disahkan positif, dan pihak berkuasa sedang menyiasat jika mereka juga dijangkiti varian Omicron.
Semalam, satu kes disyaki membabitkan varian baharu itu di Hesse di barat Jerman, juga pada seorang pengembara yang tiba dari Afrika Selatan.
Individu yang lengkap vaksinasi itu mengalami gejala sejak seminggu lalu. Hasil penjujukan genom akan diperolehi dalam masa terdekat, kata pihak berkuasa semalam. – AFP, 28 November, 2021.
Komen