BRITAIN mengesahkan dua kes pertama jangkitan varian baharu Covid-19, Omicron sekali gus memperluaskan sekatan perjalanan di rantau itu.
Kedua-dua kes itu dikaitkan dengan perjalanan dari Afrika selatan.
“Selepas penjujukan genom semalaman, Agensi Keselamatan Kesihatan UK mengesahkan bahawa dua kes Covid-19 bermutasi dengan varian B.1.1.529 (Omicron) dikenal pasti di UK,” menurut kenyataan kerajaan.
“Kedua-dua kes itu ada kaitan dengan perjalanan ke selatan Afrika,” katanya.
Menurut pegawai, satu kes dikesan di bandar raya Nottingham manakala satu lagi di Chelmsford, timur London.
“Kami telah bergerak dengan pantas dan individu itu menjalani pengasingan kendiri sementara pengesanan kontak sedang dijalankan,” kata Setiausaha Kesihatan Sajid Javid.
Beliau menambah, kerajaan negara itu meletakkan empat lagi negara di Afrika dalam “senarai merah” perjalanan – Malawi, Mozambique, Zambia dan Angola – berkuat kuasa 4.00 pagi (waktu tempatan) esok.
Britain juga menyekat perjalanan dari enam negara Afrika selatan berikutan kemunculan varian Omicron di Afrika Selatan, Namibia, Lesotho, Eswatini, Zimbabwe dan Botswana.
Kerajaan Britain dikritik meluas kerana dasar perjalanan dan kuarantinnya pada awal pandemik, apabila ia membuka pintu sempadan kepada pelancong asing walaupun kadar jangkitan meningkat.
“Ini adalah peringatan bahawa kita belum keluar dari wabak ini,” kata Javid sambil menggesa orang ramai supaya mendapatkan suntikan vaksin penggalak.
“Kami tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan selanjutnya jika diperlukan.” – AFP, 27 November, 2021.
Komen