Amanah Ikhtiar mungkin berkubur kerana skandal, kata kakitangan


Diyana Ibrahim

Selama ini ramai peminjam bergantung harap kepada Amanah Ikhtiar untuk membantu perniagaan mereka. – Gambar fail The Malaysian Insight, 28 November 2021.

KAKITANGAN dan bekas anggota pengurusan Amanah Ikhtiar Malaysia bimbang badan kebajikan itu ditutup sekiranya skandal besar dalam badan itu tidak dikekang segera.

Mereka memberitahu The Malaysian Insight, badan itu kini dibebani isu salah guna kuasa, ketelusan pengurusan dan pelaburan yang membawa kepada krisis kewangan badan itu.

Mereka bimbang Amanah Ikhtiar tidak dapat bertahan sekiranya kerajaan tidak memberi suntikan dana dan akan menjejaskan peminjam yang kini dalam keadaan sukar akibat pandemik Covid-19.

Salah seorang bekas kakitangan berkata peminjam itu akan menerima kesan besar kerana mereka tiada lagi tempat untuk mendapatkan bantuan.

“Selama ini mereka bergantung harap kepada Amanah Ikhtiar untuk membantu perniagaan mereka. Amanah Ikhtiar sudah lama ditubuhkan  dan kejayaannya membantu usahawan sudah terbukti.

“Sudah ada tiga generasi yang mendapat manfaat daripada Amanah Ikhtiar.

“Tapi kalau keadaan kewangan badan itu tidak dijaga dengan baik, kita bimbang risiko ia akan ditutup jika kerajaan tak mampu lagi untuk menyuntik dana kepada Amanah Ikhtiar,” katanya.

Wanita berusia 40 tahun itu berkata, skandal pecah amanah melibatkan pengurusan tertinggi institusi tersebut juga menyebabkan beliau mengambil keputusan meletak jawatan.

Katanya, beliau melihat Amanah Ikhtiar mula menyeleweng daripada matlamat asalnya sejak beberapa individu mengambil alih pengurusan tertingginya.

Dakwanya kumpulan yang berasal dari sebuah syarikat pembekal itu kemudian berjaya mengukuhkan kuasa dan melantik kroni ke jawatan lembaga pengarah dan dalam koperasinya.

Ia membolehkan pengurusan tertinggi dan ahli lembaga pengarah dibayar dengan gaji, imbuhan bonus yang tinggi sedangkan jelas ia melanggar akta Amanah Ikhtiar, katanya.

“Pelantikan jawatan ini berlapis-lapis. Sebagai contoh timbalan pengerusi Amanah Ikhtiar juga dilantik sebagai pengerusi koperasi.

“Dia sudah dapat imbuhan besar dan kemudian ditambah dengan jawatan koperasi. Anggaran bayaran gaji mereka saja dalam RM40,000 ke RM50,000 sebulan seorang,” katanya.

Beliau menjelaskan, perkara itu tidak sepatutnya berlaku kerana Amanah Ikhtiar bukan organisasi yang menjana keuntungan daripada pelaburan seperti Khazanah Nasional atau Permodalan Nasional Berhad.

“Ini adalah organisasi yang membantu, bukan buat keuntungan tapi apabila pemimpin dibayar RM40,000 hingga RM50,000 seorang sebulan, jadi macam mana daripada segi tanggungan pengurusan?

“Dan mereka juga menyalahgunakan kuasa untuk kepentingan sendiri dengan membawa kawan mereka untuk diberi pinjaman,” katanya lagi.

Menurutnya lagi, kumpulan ini juga bertanggungjawab ke atas pelaburan dilakukan Amanah Ikhtiar.

Lebih buruk lagi, individu yang dilantik itu pula masih berdepan dengan kes serius di mahkamah dan terdapat juga kes dana Amanah Ikhtiar digunakan untuk program politik, katanya.

“Bayangkan timbalan pengerusi boleh melantik kawan sendiri menjadi ahli lembaga pengarah yang didakwa di mahkamah atas kesalahan pemalsuan invois dan dokumen,” katanya.

Ia merujuk kes melibatkan salah seorang pengarah Mohd Farid Mohamad Ali yang didakwa berdepan dengan tuduhan tuntutan palsu pembekalan minyak masak kepada syarikat peruncit.

Kes melibatkan kontrak lebih RM1.57 juta itu didakwa berlaku dua tahun lalu dan Mohd Farid seterusnya dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur dengan 52 pertuduhan pada Jun.

Bekas kakitangan Amanah Ikhtiar yang bercakap kepada The Malaysian Insight itu kesal kerana institusi itu diperlakukan sebegitu rupa untuk kepentingan peribadi.

“Bagi saya mereka guna agenda Amanah Ikhtiar untuk membantu orang susah tapi masa sama guna kepentingan kedudukan dengan bawa masuk kroni untuk agenda peribadi.

“Itu belum lagi hubung kait politik, sebab ada dana Amanah Ikhtiar disalurkan kegunaan parti dalam program mereka di Batu Pahat, Johor,” katanya.

Tambahnya lagi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sudah beberapa kali menyiasat kes tersebut dalam Amanah Ikhtiar namun tiada tindakan lanjut diambil.

Amanah Ikhtiar kini dipimpin Ahli Parlimen Tasik Gelugor Shahbudin Yahaya sebagai pengerusi dan timbalannya Mohd Najib Mohd Noor.

Amanah Ikhtiar merupakan badan amanah persendirian yang ditubuhkan pada 1987 bagi membantu rakyat kurang berkemampuan dengan memberi pinjaman mikro.

Ia dibangunkan dengan mencontohi model yang diinspirasikan daripada skim mikro kredit diperkenalkan Bank Grameen di Bangladesh, yang berjaya melawan kemiskinan di negara itu.

Ia menerima pinjaman sebanyak RM857.97 juta daripada kerajaan.

Sepanjang penubuhannya, Amanah Ikhtiar berjaya membantu sejumlah 939,754 peminjam dengan jumlah penerima pinjaman dianggarkan lebih 3.75 juta orang.

Banyak cawangan ditutup

Kepincangan yang masih berterusan dalam badan itu turut diakui seorang kakitangan yang masih berkhidmat dalam Amanah Ikhtiar.

Beliau yang tidak mahu namanya didedahkan berkata segala dakwaan mengenai penyalahgunaan kuasa dan skandal pengurusan dana Amanah Ikhtiar memang berlaku.

Perkara itu juga menyebabkan banyak cawangan Amanah Ikhtiar ditutup tanpa sebarang alasan kukuh.

Dakwanya dalam tempoh setahun saja sebanyak 10 dari keseluruhan 130 cawangan Amanah Ikhtiar ditutup.

“Memang pelik sebab ketika pandemik kita tengok orang susah semakin bertambah tapi apa berlaku banyak cawangan yang ditutup.

“Bagi saya memang tak kenalah dengan matlamat Amanah Ikhtiar itu sendiri untuk membantu ramai orang,” katanya.

Beliau memberi contoh cawangan di Kok Lanas, Kelantan dan cawangan Shah Bandar di Terengganu yang ditutup, manakala di Sarawak kini hanya tinggal satu cawangan masih beroperasi.

“Alasan mereka banyak cawangan ini tidak kompetitif tapi bila kita tengok golongan miskin sekarang semakin bertambah.

“Sepatutnya kena buka lebih banyak cawangan supaya kita menyeluruh untuk membantu,” katanya.

Beliau percaya satu persatu cawangan itu ditutup ekoran krisis kewangan yang berpunca daripada skandal tersebut.

“Sebenarnya berlaku kerana krisis kewangan sahaja, kerana Amanah Ikhtiar tidak ada duit, sekarang hanya bergantung kepada kerajaan, kalau tak ada kerajaan habislah.

“Sebab itu kerajaan kena campur tangan buatlah, buatlah siasatan menyeluruh untuk atasi masalah ini,” katanya.

Skandal dalam Amanah Ikhtiar juga didedahkan Ketua Biro Ekonomi Pusat Pejuang Armin Baniaz Pahamin dan Ketua Pejuanita Che Asmah Ibrahim pada Oktober lepas.

Kedua-dua pemimpin itu dalam kenyataan mereka menggesa kerajaan menubuhkan suruhanjaya siasatan bebas bagi menyiasat dakwaan tersebut.

Mereka antara lain membangkitkan isu pelantikan pengurusan tertinggi dan pengurusan Amanah Ikhtiar yang tidak telus.

Mereka juga mendakwa ahli lembaga pemegang amanah juga dilantik mengikut selera kumpulan tertentu sehingga gagal menentukan hala tuju sebenar Amanah Ikhtiar.

Turut dibangkitkan, aktiviti komersial dan pelaburan Amanah Ikhtiar sejak 2018, yang bertentangan dengan Surat Ikatan Amanah Amanah Ikhtiar di bawah Akta Pemegang Amanah (Pemerbadanan) 1952.

Menurut mereka, temu bual dan kaji selidik yang dijalankan juga mendapati hampir semua pelaburan Amanah Ikhtiar mengalami kerugian besar.

Berkata kepada The Malaysian Insight, Armin mendedahkan pihak pengurusan Amanah Ikhtiar ada menghubunginya untuk memberi penjelasan berhubung dakwaan yang dibangkitkan.

“Namun bukan saya yang perlu penjelasan, kita mahu tindakan, ditubuhkan suruhanjaya untuk menyiasat. Kemudiannya bila saya menolak ada pula ugutan kononnya saya boleh disaman.

“Tapi saya kata lebih elok disaman supaya butiran kepincangan, skandal Amanah Ikhtiar boleh didedahkan,” katanya.

Pada Disember 2018, timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri ketika itu, Hanipa Maidin mengancam membatalkan sijil badan itu.

Menurutnya Amanah Ikhtiar tidak memenuhi syarat-syarat Surat cara Ikatan Amanah terutamanya dalam penubuhan anak-anak syarikat.

Pada Februari lalu pula timbul laporan di media mengenai usaha menswastakan Amanah Ikhtiar ekoran masalah kewangan yang dihadapinya.

Usaha penswastaan itu didakwa dirancang untuk membayar baki hutang Amanah Ikhtiar berjumlah kira-kira RM600 juta bagi mengelakkannya diambil alih kerajaan.

Namun ia dinafikan pengerusi Amanah Ikhtiar ketika itu, Lajim Ukin yang berkata ia bukan cubaan penswastaan sebaliknya hanya rancangan kerjasama.

Dalam masa sama, skandal melibatkan Amanah Ikhtiar turut ditimbulkan Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC).

Badan itu berang kerana Amanah Ikhtiar gagal menyerahkan yuran bulanan yang dikutip daripada kakitangan badan itu berjumlah RM140,000 kepada kesatuan sekerjanya sejak 10 bulan sebelum itu.

Setiausaha Agung MTUC Kamarul Baharin Mansur berkata ia sepatutnya diserahkan kepada Kesatuan Pekerja-pekerja Amanah Ikhtiar Malaysia Semenanjung Malaysia (KepAmanah Ikhtiar).

The Malaysian Insight sedang berusaha mendapatkan penjelasan daripada Shabudin. – 28 November, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen