BADAN pemantau pilihan raya Bersih menggesa kerajaan menyemak semula prosedur operasi standard (SOP) supaya peraturan yang tidak masuk akal dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka tidak berulang dalam PRN Sarawak.
Jawatankuasa Bersih berkata disebabkan kekurangan infrastruktur dan akses kepada maklumat yang sangat terhad di Sarawak, kempen secara bersemuka adalah satu keperluan dan perlu dibenarkan.
“Calon yang bertanding mempunyai hak untuk menyampaikan maklumat kempen kepada pengundi mereka.
“Kerajaan melalui Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) perlu mengeluarkan SOP baharu yang lebih adil kepada semua agar teratur untuk mewujudkan permainan yang sama rata.
“SOP perlu dikeluarkan seawal mungkin sebelum Hari Penamaan Calon supaya semua pihak yang terlibat mempunyai masa persediaan yang mencukupi,” kata Bersih.
Di PRN Melaka, ceramah, ucapan awam dan kempen fizikal tidak dibenarkan.
Pihak yang bertanding menyelar Putrajaya kerana mengenakan peraturan ketat semasa tempoh kempen.
Bercakap lebih lanjut Bersih mencadangkan penubuhan pusat pengundian khas di setiap negeri bagi membolehkan pengundi Sarawak yang tinggal di semenanjung atau di Sabah mengundi tanpa perlu pulang.
“Dianggarkan terdapat 250,000 rakyat Sarawak menetap di Semenanjung Malaysia dan Sabah. Semakan tiket penerbangan ke Sarawak dari Semenanjung baru-baru ini hampir RM3,000.
“Ini amat tidak adil bagi pengundi Sarawak terutamanya majoriti yang tidak mampu membayar perbelanjaan perjalanan yang begitu mahal kerana mereka akan dilucutkan hak mereka untuk mengundi,” katanya.
Sarawak akan mengadakan PRN pada 18 Disember ini, umum SPR pada Khamis lepas.
SPR dalam mesyuarat khasnya di Kuching turut menetapkan penamaan calon pada 6 Disember, memberikan tempoh kepada parti sebanyak 12 hari untuk berkempen.
Mesyuarat itu juga menetapkan 14 Disember untuk pengundian awal. – 27 November, 2021.
Berita penuh di sini.
Komen