Armenia, Azerbaijan setuju reda ketegangan di bawah pengawasan Putin


Ilham Aliyev dari Azerbaijan (kiri), Presiden Rusia Vladimir Putin (tengah) dan Nikol Pashinyan dari Armenia (kanan) ketika sidang media bersama selepas mengadakan pertemuan untuk meredakan ketegangan antara Armenia dan Azerbaijan di pusat peranginan Laut Hitam Sochi. – Gambar EPA, 26 November, 2021.

PEMIMPIN Armenia dan Azerbaijan bersetuju meredakan ketegangan selepas perang ke atas Nagorno-Karabakh tahun lepas, dengan Presiden Rusia Vladimir Putin menjadi pengantara kepada dua negara itu.

Nikol Pashinyan dari Armenia dan Ilham Aliyev dari Azerbaijan memuji rundingan dengan Putin di pusat peranginan Laut Hitam Sochi, berkata ia sebagai positif.

Putin mengumumkan kedua mereka telah bersetuju memulakan proses persempadanan semula, membina semula rangkaian pengangkutan di rantau tersebut, serta bergerak ke hadapan dalam “isu kemanusiaan.”

Beliau mengucapkan terima kasih kepada Pashinyan dan Aliyev kerana bersetuju dengan rundingan itu.

Ketiga-tiga mereka bertemu kurang dua minggu selepas pertempuran paling teruk antara republik bekas Soviet Caucasus sejak perang enam minggu mereka tahun lalu yang meragut lebih 6,500 nyawa.

Pertemuan itu dikatakan sebagai bertepatan dengan ulang tahun gencatan senjata yang diusahakan oleh Moscow bagi menamatkan konflik tahun lepas.

“Kami bersetuju dengan beberapa isu yang saya fikir penting,” kata Putin dalam sidang media bersama selepas rundingan itu.

Pashinyan dari Armenia berkata rundingan itu diadakan dalam suasana terbuka dan positif.

“Keputusan mesyuarat adalah positif. (Rantau itu) akan lebih selamat,” kata Aliyev dari Azerbaijan.

Putin sebelum ini menggesa kedua pemimpin itu meredakan ketegangan.

“Kami adalah sebahagian daripada negara bersatu selama berabad-abad, kami ada hubungan sejarah yang mendalam,” kata Putin kepada kedua mereka selepas mengadakan perbincangan berasingan dengan mereka.

Kedua pemimpin bersetuju untuk mula membina semula rangkaian pengangkutan era Soviet antara Azerbaijan dan Armenia yang kini ditutup oleh sekatan bersama.

Putin berkata pegawai Armenia dan Azerbaijan akan bertemu di Moscow minggu depan bagi membincangkan untuk buka sekatan rangkaian kereta api dan pengangkutan jalan raya.

“Semua orang, termasuk Rusia sebagai jiran, berminat untuk mewujudkan hubungan (pengangkutan),” katanya dalam komen sebelum rundingan. – AFP, 26 November, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen