Singapura hadkan perjalanan dari 7 negara Afrika 


Singapura akan mengehadkan perjalanan dari Botswana, Eswatini, Lesotho, Mozambique, Namibia, Afrika Selatan dan Zimbabwe mulai 28 November ekoran jangkitan varian baharu Covid-19. – Gambar EPA, 27 November, 2021. 

SINGAPURA akan mengehadkan perjalanan dari Botswana, Eswatini, Lesotho, Mozambique, Namibia, Afrika Selatan dan Zimbabwe mulai 28 November ekoran jangkitan varian baharu Covid-19 yang kian meruncing di negara berkenaan. 

Menurut Pasukan Petugas Pelbagai Kementerian (MTF), terdapat laporan terbaharu mengenai varian B.1.1.529 yang lebih cepat merebak di negara tersebut. 

“Saintis di seluruh dunia masih mengkaji varian baharu itu, sama ada ia lebih mudah ditularkan berbanding varian Delta, kemungkinan membawa kepada penyakit yang teruk dan keberkesanan vaksin sedia ada terhadap varian baharu ini, ” menurut MTF dalam satu kenyataan hari ini.

Buat masa ini, tiada kes membabitkan varian itu dilaporkan di Singapura.

Dalam pada itu, MTF memaklumkan pihaknya perlu mengambil langkah berjaga-jaga untuk mengurangkan risiko penularan B.1.1.529 ke Singapura.

Antara lain, MTF menyatakan semua pemegang pas jangka panjang dan pelawat jangka pendek yang mempunyai sejarah perjalanan ke tujuh negara tersebut dalam tempoh 14 hari, tidak akan dibenarkan masuk ke Singapura atau transit melalui Singapura.

“Sekatan ini akan dikenakan kepada mereka yang sebelum ini telah mendapat kelulusan untuk masuk ke Singapura,” katanya.

Sekatan sempadan itu dilaksana selama empat minggu untuk fasa pertama, ia kemudian akan disemak sama ada perlu untuk melanjutkan sekatan atau sebaliknya. 

“Walaupun varian itu telah dicadangkan lebih mudah merebak, namun belum ada bukti mencukupi untuk menentukan sama ada varian ini dikaitkan dengan sebarang perubahan dalam penyakit, tindak balas antibodi atau keberkesanan vaksin.

“Semua aspek itu masih dikaji,” menurut MTF.

Singapura juga mengumumkan akan melancarkan Laluan Perjalanan Lengkap Vaksin (VTL) dengan Thailand mulai 14 Disember dan dengan Kemboja, Fiji, Maldives, Sri Lanka dan Turki mulai 16 Disember

Langkah terbaru itu sekali gus meningkatkan jumlah negara yang terlibat di bawah skim VTL kepada 27 berbanding 21 negara. – Bernama, 27 November, 2021. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen