KEMENTERIAN Kesihatan (KKM) akan telus dan memaklumkan kepada rakyat sekiranya terdapat kes kematian disebabkan vaksin atau dos penggalak Covid-19.
Menterinya Khairy Jamaluddin berkata setakat ini tiada kematian yang dikaitkan secara langsung dengan vaksin dengan disahkan tiga jawatankuasa.
Ia melibatkan Jawatankuasa Farmakovigilans Khas Vaksin Covid-19, Jawatankuasa Induk Bantuan Khas Kewangan Kesan Mudarat Vaksin Covid-19 dan Jawatankuasa Teknikal Perubatan.
Beliau berkata perkongsian laporan bedah siasat kematian Ketua Penolong Pengarah Kanan Ibu Pejabat KKM Dr Chai Koh Meow menunjukkan kementerian tidak menyembunyikan sebarang maklumat kepada umum.
Khairy berkata demikian pada sidang media perkembangan Covid-19 yang turut dihadiri Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah dan Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Penyelidikan Dan Sokongan Teknikal) Dr Hishamshah Mohd Ibrahim. – Bernama, 26 November, 2021.
Komen