PRU15 tidak sesuai diadakan ketika ini, kata Khairy


Ravin Palanisamy

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata keadaan kes masih membimbangkan, terdapat peningkatan kemasukan ke hospital dan kini terdapat kemunculan varian baharu Covid-19. – Gambar fail The Malaysian Insight, 26 November, 2021.

KEMENTERIAN Kesihatan berpandangan bahawa Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) tidak sesuai diadakan ketika ini, kata menterinya Khairy Jamaluddin.

Mengambil kira beberapa faktor, Khairy berkata ini bukan masa yang sesuai untuk mengadakan pilihan raya umum dan ia harus dielakkan.

“Pendirian kementerian adalah tidak sesuai mengadakan pilihan raya umum ketika ini.

“Ini kerana keadaan kes masih membimbangkan, terdapat peningkatan kemasukan ke hospital dan kini terdapat kemunculan varian baharu Covid-19.

“Jadi, saya rasa jika pilihan raya umum diadakan pada masa ini, ia adalah sangat tidak bertanggungjawab,” kata Khairy pada sidang media di Putrajaya hari ini.

Terdapat laporan menyatakan parti Melayu terbesar Malaysia Umno akan mengadakan pilihan raya umum lebih awal selepas gabungannya Barisan Nasional (BN) memenangi pilihan raya negeri Melaka dengan majoriti dua pertiga.

BN memenangi 21 daripada 28 kerusi yang dipertandingkan, meninggalkan Pakatan Harapan dengan lima kerusi dan Perikatan Nasional dengan dua kerusi.

Khairy berkata pilihan raya Melaka tidak dapat dielak kerana DUN telah dibubarkan.

Beliau bagaimanapun berkata pilihan raya Sarawak boleh dielakkan, jika mereka mahu.

Pilihan raya negeri Sarawak ke-12 akan berlangsung pada 18 Disember, dengan pengundian awal ditetapkan pada 14 Disember

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Abdul Ghani Salleh mengumumkan tarikh penamaan calon pada 6 Disember.

Khairy berkata prosedur operasi standard (SOP) bagi pilihan raya negeri akan dimuktamadkan tidak lama lagi sebelum mereka mengesyorkannya kepada SPR. – 26 November, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen