MBAM gesa Selangor lanjut waktu operasi tapak bina


Elill Easwaran

Presiden MBAM Sufri Hj Mhd Zin menggesa kerajaan Selangor lanjutkan waktu operasi tapak pembinaan dari 7 pagi hingga 7 malam pada Isnin hingga Jumaat bagi menampung semula kerja-kerja yang terganggu sejak pandemik Covid-19 melanda. – Gambar fail The Malaysian Insight, 26 November, 2021.

KERAJAAN negeri Selangor perlu lanjutkan waktu operasi tapak pembinaan dari 7 pagi hingga 7 malam pada Isnin hingga Jumaat, kata Presiden Persatuan Kontraktor Binaan Malaysia (MBAM) Sufri Hj Mhd Zin.

“Ini kerana dengan normal baharu, prosedur harian untuk imbas suhu dan daftar masuk dengan MySejahtera sebelum pekerja dibenarkan masuk ke tapak pembinaan mengambil banyak masa,” katanya dalam satu kenyataan.

Ketika ini waktu operasi tapak pembinaan di Selangor bermula 8 pagi hingga 6 petang pada Isnin hingga Sabtu.

Tambah Sufri kerja-kerja pembinaan telah terganggu sejak pandemik Covid-19 melanda selain terjejas oleh pelbagai perintah kawalan pergerakan.

“Ada kalanya tapak bina tidak dibenarkan beroperasi atau beroperasi dengan kadar produktiviti yang rendah kerana mematuhi prosedur operasi standard.

“Berdasarkan pemerhatian, secara umumnnya industri ini terpaksa berhenti kerja lebih kurang 199 hari dan kira-kira 380 hari produktiviti rendah di Kuala Lumpur dan Selangor,” katanya.

Menurut Presiden MBAM Sufri Hj Mhd Zin, secara umumnnya industri pembinaan terpaksa berhenti kerja lebih kurang 199 hari dan kira-kira 380 hari produktiviti rendah di Kuala Lumpur dan Selangor. – Gambar fail The Malaysian Insight, 26 November, 2021.

Sufri turut berkata MBAM berharap kerajaan negeri lain mempertimbangkan pelaksanaan sama.

“Dengan penyeragaman untuk melanjutkan waktu operasi pembinaan, ia akan membolehkan industri dapat meningkatkan produktiviti.”

Awal minggu ini, Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin telah memberi amaran sekatan pergerakan dalam sektor sosial akan diperkenalkan semula jika kes Covid-19 mengakibatkan hospital penuh, dan peralihan Malaysia ke fasa endemik untuk penyakit itu akan mengambil masa yang lebih lama.

“Sekarang ini kita tidak berubah. Jika mana-mana negeri rasa mereka boleh isytihar menang, mereka silap,” kata Khairy. – 26 November, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen