HANYA satu perempat daripada petugas kesihatan di Afrika diberi vaksin Covid-19 sepenuhnya, kata Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) semalam.
Pertubuhan itu turut memberi amaran majoriti tenaga kerja perubatan barisan hadapan benua itu terdedah secara berbahaya.
Sebaliknya kajian baru-baru ini ke atas 22 negara yang kebanyakannya berpendapatan tinggi mendedahkan lebih 80% pekerja penjagaan kesihatan di sana sudah diberi vaksin Covid-19 sepenuhnya, menurut WHO.
“Majoriti pekerja kesihatan Afrika masih tidak mendapatkan vaksin dan terdedah secara berbahaya kepada jangkitan Covid-19 yang teruk.
“Adalah penting untuk mempunyai perlindungan vaksin yang tinggi dalam kalangan petugas kesihatan bukan sahaja untuk perlindungan mereka sendiri tetapi juga untuk pesakit mereka dan untuk memastikan sistem penjagaan kesihatan terus beroperasi pada masa yang sangat memerlukan,” kata Pengarah WHO di Afrika, Matshidiso Moeti selepas mendedahkan hanya 27% pekerja kesihatan di benua itu menerima suntikan vaksin.
Hanya sebuah negara di Afrika mempunyai bilangan pekerja kesihatan yang diperlukan iaitu 10.9 setiap 1,000 penduduk manakala 16 negara mempunyai kurang daripada satu setiap 1,000, menurut WHO.
“Kehilangan petugas kesihatan akibat Covid-19 sangat memberi kesan kepada kapasiti penyediaan perkhidmatan,” kata WHO.
Campur tangan WHO dibuat selepas saintis di Afrika Selatan mendedahkan mereka mengesan varian baharu Covid-19 dengan bilangan mutase yang sangat tinggi.
Buat pertama kali sejak gelombang ketiga virus pada Ogos, kes di Afrika Selatan meningkat, melonjak 48% pada 21 November berbanding minggu sebelumnya.
“Dengan lonjakan baharu kes di Afrika berikutan musim perayaan akhir tahun, negara mesti segera mempercepatkan program vaksin kepada pekerja penjagaan kesihatan,” kata Moeti. – AFP, 26 November, 2021.
Komen