BRITAIN semalam mengumumkan akan mengharamkan perjalanan dari enam negara Afrika Selatan selepas negara itu mengesan varian baharu Covid-19 dengan sejumlah besar mutase.
“Petunjuk awal yang kami ada tentang varian ini ialah ia mungkin lebih mular menular dari varian Delta dan vaksin yang kami ada pada masa ini mungkin kurang berkesan terhadapnya,” kata Setiausaha Kesihatan Sajid Javid.
Javid berkata varian baharu itu yang dikaitkan dengan peningkatan kes oleh Afrika Selatan dan juga dikesan melalui pengembara dari negara itu di Botswana dan Hong Kong belum ditemui setakat ini di Britain.
Tetapi beliau berkata saintis Britian “sangat prihatin” dan sebagai langkah berjaga-jaga, mereka mengambil keputusan menggantung semua penerbangan dari Afrika Selatan, Namibia, Lesotho, Eswatini, Zimbabwe dan Botswana hari ini.
“Kami akan mewajibkan sesiapa sahaja yang tiba dari negara-negara tersebut dari 4 pagi Ahad untuk menjalani kuarantin di hotel.
“Sekiranya ada yang tiba sebelum itu, mereka harus mengasigkan diri di rumah dan mengambil ujian PCR pada hari kedua dan hari kelapan.
“Dan jika sesiapa tiba dari mana-mana negara itu dalam tempoh 10 hari yang lalu, kami akan meminta mereka mengambil ujian PCR,” katanya.
Britain merupakan antara yang paling terjejas dilanda Covid-19 dengan kira-kira 144,000 kematian sejak wabak bermula awal tahun lalu.
Kes positif kekal tinggi dengan lebih 47,000 direkodkan dalam tempoh 24 jam setakat semalam tetapi lebih 80% mereka berusia 12 tahun ke atas sudah disuntik dua dos vaksin.
Hampir 29% sudah menerima dos penggalak ketiga sebagai sebahagian daripada usaha kerajaan mengurangkan tekanan terhadap perkhidmatan kesihatan yang tertekan semasa musim sejuk apabila jangkitan pernafasan bermusim lain adalah tinggi.
Kerajaan Britain dikritik secara meluas kerana dasar perjalanan dan kuarantinnya sebelum wabak itu apabila ia mengekalkan sempadannya terbuka kepada pelancong asing walaupun kadar jangkitan meningkat. – AFP, 26 November, 2021.
Komen