PARLIMEN mungkin dilanjutkan dua hari lagi sehingga 21 Disember bagi membolehkan Dewan Rakyat membahaskan pindaan Perlembagaan berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), kata Wan Junaidi Tuanku Jaafar.
“Memandangkan kita hanya mempunyai tiga hari lagi untuk rang undang-undang kerajaan, kerajaan akan meminta Parlimen melanjutkan sesi ini selama dua hari lagi untuk meluluskan semua rang undang-undang ini,” kata menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Parlimen) itu kepada Dewan Rakyat hari ini.
“Saya ingin memberi jaminan kepada Parlimen yang rang undang-undang berhubung MA63 akan dibahaskan (bacaan kedua) pada sesi ini,” kata ahli Parlimen Santubong itu.
Sidang Dewan Rakyat sekarang adalah dari 25 Oktober hingga 16 Disember.
Kerajaan sudah membentangkan empat pindaan Perlembagaan bertujuan memulihkan kedudukan Sabah dan Sarawak.
Mengikut rang undang-undang yang dicadangkan, pindaan itu akan melibatkan Perkara 1 (2), 160 (2) dan 161A (6) Perlembagaan Persekutuan.
Sama seperti yang dibentangkan semasa pentadbiran Pakatan Harapan (PH) pada 2019, cadangan pertama pindaan Perkara 1 (2) bertujuan untuk mentakrifkan Sabah dan Sarawak sebagai wilayah berasingan, bukannya negeri di bawah Persekutuan Malaysia.
Pindaan lain melibatkan pengiktirafan Hari Malaysia, mentakrifkan semula maksud “Persekutuan” dan “anak negeri” di Sarawak.
Menteri itu menjawab soalan Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim (Port Dickson-PH) mengenai bilakah beberapa reformasi Parlimen yang dipersetujui antara PH dan kerajaan akan dilaksanakan.
“MA63 adalah antara perkara penting dalam MoU dan kami semua mahu ia diluluskan dalam sesi ini. Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob (Bera-BN) dan menteri lain juga sudah memberi jaminan kepada kami yang ia akan dilaksanakan secepat mungkin,” kata Anwar.
Anwar berkata blok utama pembangkang memahami pindaan anti-lompat parti tidak boleh dilakukan dalam sesi ini kerana draf rang undang-undang belum siap.
Tetapi katanya PH juga sudah membangkitkan isu peruntukan sama rata bagi kawasan Parlimen untuk semua ahli Parlimen.
“Sebagai ketua pembangkang, kami sentiasa bertegas yang peruntukan itu perlu diberikan kepada semua ahli Parlimen pembangkang, tidak kira sama ada mereka terlibat dengan MoU atau tidak,” kata pengerusi PH itu.
Mengenai perkara ini, Wan Junaidi berkata kerajaan juga bersetuju dengan pembangkang.
“Bagaimanapun, semasa mesyuarat jawatankuasa pemandu sebelum ini, diputuskan hanya mereka yang terlibat dengan MoU akan diberi dana terlebih dahulu.
“Namun begitu, saya akan bangkitkan semula isu itu dalam mesyuarat akan datang,” kata Wan Junaidi. – 25 November, 2021.
Komen