PUTRAJAYA menjanjikan kadar Internet lebih murah selepas rangkaian 5G dilancarkan oleh Digital Nasional Bhd (DNB), kata Senator Tengku Zafrul Aziz.
“Kos masa depan akan jauh lebih murah kerana DNB akan mengenakan caj kepada syarikat telekomunikasi kurang daripada RM0.20 setiap gigabit data,” kata menteri kewangan itu kepada Parlimen semasa Waktu Pertanyaan Menteri hari ini.
Beliau berkata syarikat telekomunikasi hanya perlu membayar RM3.5 hingga RM4 bilion dalam tempoh 10 tahun berbanding RM1 bilion setahun untuk rangkaian 4G.
“Ini adalah penjimatan 50% bagi syarikat telekomunikasi dan membolehkan mereka menawarkan Internet pada kos lebih rendah.
“Model DNB akan memaksa syarikat bersaing dalam harga dan perkhidmatan kerana ia tidak perlu mengeluarkan wang yang besar untuk membangunkan rangkaian,” tambahnya.
Beliau berkata syarikat telekomunikasi pada masa ini membayar RM0.40-RM0.55 bagi setiap gigabit data.
DNB akan menetapkan harga bagi syarikat telekomunikasi manakala Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) memberikan kelulusan akhir, kata Tengku Zafrul.
“SKMM sebagai badan induk akan memastikan harga yang berpatutan untuk semua kerana ia tidak berorientasikan keuntungan.
“Saya diberitahu proses penetapan harga 5G sedang dimuktamadkan dan akan jauh lebih murah berbanding rangkaian 4G yang dibayar oleh syarikat telekomunikasi,” tambahnya.
Kementerian Kewangan menjawab soalan Lukanisman Awang Sauni (Sibuti-GPS) yang meminta kerajaan menjelaskan dakwaan syarikat telekomunikasi tidak mahu mendaftar dengan DNB untuk menggunakan 5G kerana harga ditawarkan DNB yang dilihat akan memonopoli terlalu tinggi.
Tengku Zafrul berkata kerajaan menyedari cabaran dialami negara lain menggunakan pendekatan “rangkaian borong tunggal” dan mengambil langkah untuk memastikan tiada kesilapan berlaku di Malaysia.
Beliau berkata syarikat telekomunikasi bimbang mengenai perkara itu kerana ingin mengekalkan bahagian pasaran terutamanya melibatkan margin keuntungan.
“Tetapi model DNB akan menggalakkan syarikat telekomunikasi bersaing menggunakan infrastruktur DNB. Lebih penting lagi, rakyat Malaysia akan menikmati kelajuan Internet sehingga 100 kali ganda lebih pantas pada harga berpatutan. Syarikat telekomunikasi juga boleh mengekalkan keuntungan mereka,” kata Tengku Zafrul.
Beliau menyamakan model DNB dengan “lebuh raya mega tunggal untuk semua dan bukannya beberapa jalan yang lebih kecil”.
Pengkritik menggesa semakan semula keputusan melantik DNB untuk mengendalikan rangkaian 5G berikutan laporan syarikat telekomunikasi tidak mahu mendaftar kerana isu ketelusan dan harga.
Sementara itu, DNB sudah menandatangani kontrak dengan Ericsson Malaysia sebanyak RM11 bilion untuk membina infrastruktur 5G. DNB dimiliki sepenuhnya oleh Kementerian Kewangan Diperbadankan.
Kritikan lain terhadap model DNB ialah kekurangan ketelusan tentang cara ia akan membayar Ericsson untuk projek itu kerana ia tidak menanggung sebarang hutang. – 25 November, 2021.
Komen