KKM lapor 1,213 kes Covid-19 dimasukkan ke hospital semalam


Ravin Palanisamy

Kadar penggunaan keseluruhan katil hospital turut menurun kepada 69.8% semalam. – Gambar fail The Malaysian Insight, 25 November, 2021.

KEMENTERIAN Kesihatan (KKM) melaporkan 1,213 pesakit dimasukkan ke hospital kerana Covid-19, sedikit pengurangan berbanding semalam sebanyak 1,284.

Menurut data dikeluarkan KKM di laman web CovidNow, ia turut menyaksikan penggunaan keseluruhan katil hospital menurun sedikit daripada 69.9% sehari sebelum kepada 69.8% semalam, dengan kemasukan koronavirus menyumbang sebanyak 38.8%.

Kadar kemasukan ke hospital menunjukkan tahap keterukan wabak koronavirus. Penggunaan hospital termasuklah penggunaan katil serta bilangan pesakit dalam unit rawatan rapi (ICU) dan ventilator.

Lembah Klang melaporkan 385 kemasukan semalam, meningkat daripada 344 sehari sebelumnya. Penggunaan katil kini mencecah 62.5%.

Di antara negeri dan wilayah Lembah Klang, Selangor melaporkan sebahagian besar kemasukan dengan 332, Kuala Lumpur (35) dan Putrajaya (18).

Negeri dan wilayah lain yang melaporkan kemasukan baharu ialah Johor sebanyak 192, Sabah (114), Kelantan (93), Sarawak (91), Terengganu (71), Perak (66), Negeri Sembilan (54), Kedah (41), Pahang (38), Melaka (30), Pulau Pinang (23), Perlis (13), Labuan (2).

Melaka yang baru-baru ini selesai menjalankan pilihan raya negeri, mempunyai kadar penggunaan katil tertinggi pada 90%.

Sementara itu, 5,755 kes Covid-19 dilaporkan semalam adalah yang tertinggi dalam tempoh empat hari lalu.

Lembah Klang sahaja menyumbang 1,948 kes atau 34% daripada jumlah kes, dengan Selangor melaporkan 1,511 kes, Kuala Lumpur (400) dan Putrajaya (37).

Negeri dan wilayah lain yang melaporkan kes baharu ialah Sabah (622), Kelantan (590), Johor (486), Pahang (376), Kedah (358), Pulau Pinang (270), Terengganu (231), Perak (219), Negeri Sembilan (202), Sarawak (192), Melaka (191), Perlis (43) dan Labuan (27).

Penggunaan keseluruhan untuk alat bantuan ventilator adalah pada 37.3%. Penggunaan katil ICU di negara ini mencapai 62.9%, dengan 44.5% adalah kes berkaitan Covid-19.

Sementara itu, kes aktif Covid-19 meningkat kepada 69,261 selepas Malaysia mencatatkan lebih banyak jangkitan baharu berbanding pemulihan sejak dua hari lalu.

Daripada kes aktif, sebanyak 55,705 pesakit menjalani kuarantin di rumah, 7,584 berada di pusat kuarantin berisiko rendah dan 5,466 dimasukkan ke hospital.

Terdapat 506 pesakit di ICU, dengan 270 memerlukan sokongan ventilator. – 25 November, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen