KUMPULAN majikan dan persatuan perdagangan menyambut baik cadangan Kementerian Sumber Manusia untuk tidak mendedahkan rekod penjara pekerja sebagai langkah wajar bagi memastikan individu ini diberi peluang menyertai semula tenaga kerja.
Ini juga akan mengelakkan individu ini berdepan stigma di tempat kerja kerana mempunyai rekod penjara tidak bermakna seseorang itu tidak mampu menjadi pekerja yang baik, tambah mereka.
Kumpulan majikan itu memberi maklum balas terhadap cadangan Menteri Sumber Manusia M. Saravanan agar rekod penjara dirahsiakan dan eksklusif untuk jabatan kerajaan dan polis tertentu serta bukan kepada pihak ketiga seperti majikan.
Presiden Persatuan PKS Malaysia Ding Hong Sing berkata masyarakat umumnya mempunyai pandangan buruk terhadap mereka yang mempunyai rekod penjara.
“Jika seseorang individu itu mahu kembali bekerja tetapi semua orang tahu dia pernah dipenjarakan, pasti akan ada stigma dan ia mungkin menjejaskan keyakinan diri mereka.
“Sebaik-baiknya rekod penjara dirahsiakan dalam keadaan sedemikian,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Ding yang berada dalam industri makanan memberitahu perancangannya dengan Jabatan Penjara mengenai pengambilan bekas banduan ke tempat kerja.
“Tahun lalu saya berjumpa dengan pengarah penjara dan kami bercakap tentang cara membantu mereka yang dibebaskan dari penjara.
“Industri makanan kini mula mengambil bekas banduan kerana kekurangan kakitangan,” katanya.
Walaupun mereka mungkin kurang pengalaman kerja, syarikat dan orang yang bertanggungjawab akan menyediakan latihan selagi individu ini bersedia untuk belajar, tambah Ding.
“Semua orang membuat kesilapan, tetapi mereka berhak mendapat peluang lagi. Kami sedia memberi peluang kepada mereka asalkan mereka tidak mensia-siakannya,” katanya.
Ding mengakui walaupun dia terbuka untuk menggaji bekas bekas banduan, namun tidak semua majikan merasakan perkara yang sama.
Beliau berkata kualiti seseorang pekerja boleh dinilai dengan prestasi dan sikap mereka, bukannya sama ada mereka mempunyai rekod penjara.
“Jika mereka sanggup bekerja dan belajar, kemudian berjaya, mereka juga boleh mendapat kenaikan gaji.
“Tetapi jika mereka datang pekerja sehari dan hilang pada hari berikutnya, kita tidak dapat terus menyimpan pekerja seperti itu,” katanya.
Saravanan berkata bekas banduan yang memohon pekerjaan mendapati sukar untuk diambil bekerja selepas pemeriksaan latar belakang mendedahkan rekod penjara mereka.
Sementara itu Presiden Persatuan Pedagang Borong Pakaian Malaysia Ang Say Tee berkata mempunyai rekod penjara tidak bermakna seseorang itu akan terus menjadi orang jahat.
“Ia adalah satu langkah yang baik untuk mengintegrasikan semula bekas banduan ke dalam masyarakat,” kata Ang mengenai cadangan Saravanan.
Mengenai kemungkinan bahaya atau akibat mengupah banduan, Ang seperti Ding berkata mana-mana pekerja dengan atau tanpa rekod penjara perlu bekerja keras dan berprestasi baik untuk mendapat kepercayaan syarikat.
“Walaupun seseorang tidak mempunyai rekod penjara, majikan tetap akan memerhatikan sikap dan tingkah laku mereka. Hanya kerana seseorang tidak mempunyai rekod penjara tidak bermakna mereka juga pekerja yang baik,” kata Ang yang juga pengerusi Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Kuala Lumpur.
Presiden Persatuan Pemilik Kedai Kopi Malaysia-Singapura Wong Teu Hoon berkata adalah perkara biasa bagi majikan dalam perniagaan restoran untuk mengupah bekas banduan.
“Kita harus memberi mereka peluang dan tidak mendiskriminasi mereka selagi mereka mahu berubah,” katanya.
Wong berkata semasa menemuduga untuk pekerjaan, mereka yang mempunyai rekod penjara biasanya akan datang dan memaklumkan bakal majikan mengenai status mereka.
“Mereka berterus-terang supaya kita memahami masa lalu mereka dan mengapa mereka berada di dalam penjara. Kebanyakan bos dalam perniagaan makanan dan kedai kopi akan mengupah mereka.
“Satu-satunya kebimbangan adalah jika mereka adalah penagih dadah. Mereka mungkin kembali menjadi penagih dan menjejaskan rakan sekerja mereka atau mereka mungkin encuri untuk memenuhi kehendak mereka,” katanya.
Tiada keputusan dibuat dan Saravanan berkata beliau akan membincangkan cadangan itu dengan Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainuddin. – 25 November, 2021.
Komen