Tiada sebab klasifikasikan laporan kehilangan aktivis di bawah OSA, kata peguam


Raevathi Supramaniam

Norhayati Ariffin berkata beliau terkejut apabila dimaklumkan laporan siasatan kehilangan suaminya aktivis Amri Che Mat diklasifikasikan sebagai rahsia di bawah Akta Rahsia Rasmi. – Gambar fail The Malaysian Insight, 24 November, 2021.

TIDAK ada alasan sah atau munasabah untuk mengklasifikasikan hasil siasatan pasukan petugas khas untuk menyiasat kehilangan aktivis Amri Che Mat dan Pastor Raymond Koh di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA), kata peguam Surendra Ananth.

Peguam itu yang bertindak bagi pihak isteri Amri, Norhayati Ariffin berkata ini antara sekatan yang terpaksa dihadapi sejak mereka memfailkan tuntutan saman pada 2019.

“Kami tidak percaya ada alasan yang sah atau munasabah untuk mengklasifikasiknya sebagai rahsia rasmi, ia laporan sebuah pasukan petugas khas yang diumumkan secara terbuka dua tahun lalu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Siasatan awam Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) terhadpa kehilangan Amri dan Koh membuat kesimpulan kemungkinan besar mereka adalah mangsa kehilangan paksa dan diculik polis Cawangan Khas.

Kehilangan paksa berlaku apabila individu diculik atau ditahan secara rahsia oleh negara atau organisasi politik atau pihak ketiga dengan kebenaran negara, sokongan dan persetujuan, diikuti dengan keengganan untuk mengakui keadaan dan di mana individu terbabit, dengan niat meletakkan mangsa di luar perlindungan undang-undang.

Pada 2019, menteri dalam negeri pada masa itu Muhyiddin Yassin mengarahkan pasukan petugas khas ditubuhkan untuk menyiasat hasil keputusan Suhakam. Pasukan itu diberi masa enam bulan bermula Jun tahun sama untuk melakukan tugasan itu.

Pada tahun sama, Norhayati memfailkan saman khas dan ganti rugi am sebagai cara terakhir selepas gagal mendapatkan maklumat berkenaan siasatan polis terhadap kehilangan suaminya.

Pada 25 Mei, 2021 peguamnya memfailkan permohonan untuk mendapatkan salinan laporan pasukan petugas khas itu diserahkan kepada mahkamah.

Dalam jawapan pada September 2021, kerajaan enggan menyerahkan laporan itu dengan sebab ia diklasifikasikan sebagai rahsia di bawah Akta Rahsia Rasmi 1972.

Norhayati berkata beliau kecewa ketika dimaklumkan tentang perkembangan baharu itu.

“Kenapa laporan ini rahsia? Bagaimana ia boleh bertentangan dengan kepentingan negara? Saya fikir tujuan pasukan petugas khas itu ialah menyiasat apa berlaku pada Amri dan Pastor Raymond, tetapi konspirasi untuk mendiamkan kehilangan paksa ini masih berterusan,” katanya. – 24 November, 2021.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen