Masih tiada sebarang maklumat mengenai Jho Low, kata kerajaan


Chan Kok Leong

TIADA maklumat mengenai keberadaan Low Taek Jho yang menjadi buruan Malaysia walaupun dua notis merah Interpol sudah dikeluarkan, kata Kementerian Dalam Negeri (KDN).

“Selain Malaysia, Singapura juga memfailkan pendakwaan terhadap Low pada 2016 dan mendapat notis merah daripada Interpol pada tahun yang sama,” kata kementerian itu dalam jawapan bertulis kepada Parlimen semalam.

“Amerika Syarikat juga memfailkan pendakwaan terhadapnya di mahkamah di New York pada 2018 dan mengeluarkan waran tangkap.”

Notis merah Interpol dikeluarkan terhadap individu dalam buruan sama ada bagi tujuan pendakwaan atau menjalani hukuman. Ia adalah permohonan kepada penguatkuasa undang-undang di seluruh dunia untuk mencari dan menahan sementara seseorang bagi menunggu ekstradisi atau tindakan undang-undang yang serupa.

Walaupun begitu, Interpol (yang mempunyai 194 negara anggota) tidak mempunyai maklumat mengenai keberadaan Low, kata kementerian itu.

“Walaupun bekas ketua polis negara Abdul Hamid Bador berkata pada 2019 dan 2020 yang Low dipercayai bersembunyi di China, kedutaan China di sini mengeluarkan kenyataan menafikan beliau dilindungi oleh Beijing.”

Kementerian itu menjawab soalan RSN Rayer (Jelutong-PH) yang bertanyakan usaha polis mengesan dan menghantar pulang Low.

Low dikehendaki di Malaysia kerana penglibatannya dalam penyelewengan berbilion ringgit daripada dana negara 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Pada Oktober 2018, Mahkamah Sesyen Putrajaya mengeluarkan waran tangkap terhadap Low dan bapanya, Larry Low Hock Peng, bagi membolehkan kedua-duanya dibawa pulang dan menghadapi pertuduhan pengubahan wang haram berhubung 1MDB.

Waran itu diperoleh selepas pendakwaan difailkan di Mahkamah Sesyen Putrajaya mengikut Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001. – 24 November, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen