NEW Zealand pada Rabu mengumumkan tidak akan membuka semula sempadan kepada pelancong asing selama sekurang-kurangnya lima bulan lagi, ketika ia perlahan-lahan melonggarkan beberapa sekatan pandemik paling ketat di dunia.
Menteri Respons Covid-19 Negara Pasifik, Chris Hipkins berkata rakyat New Zealand yang terkandas di Australia boleh pulang dari pertengahan Januari dan mereka yang melakukan perjalanan dari tempat lain akan dibenarkan dalam sebulan kemudian.
Tetapi warga asing mesti menunggu sehingga akhir April di bawah pelan tindakan pembukaan semula berperingkat yang diumumkan pada Rabu.
“Kami mengakui ia sukar, tetapi penghujung sekatan perjalanan yang ketat kini semakin hampir,” kata Hipkins kepada pemberita.
New Zealand menutup sempadannya pada Mac tahun lalu, memerlukan semua ketibaan antarabangsa menjalani kuarantin hotel selama dua minggu, tempoh yang baru-baru ini dikurangkan kepada tujuh hari.
Hipkins berkata di bawah rejim baharu, pengembara akan menjalani kuarantin selama tujuh hari dengan syarat mereka mendapat vaksin lengkap dan lulus beberapa siri ujian Covid-19.
Langkah itu dibuat di tengah-tengah tekanan yang semakin meningkat daripada warga New Zealand berpangkalan di luar negara yang kecewa kerana tidak gagal mendapat tempahan dalam sistem kuarantin hotel yang terlalu ketat.
Media tempatan kerap menyiarkan laporan mengenai rakyat negara itu yang tidak dapat pulang ke rumah untuk menziarahi ahli keluarga yang meninggal dunia kerana ketiadaan bilik kuarantin.
Pengumuman sempadan itu dibuat ketika New Zealand bersiap sedia untuk merombak langkah domestik berhubung Covid-19 untuk menghapuskan sekatan susulan varian Delta.
Strateginya sebelum ini untuk menghapuskan virus sepenuhnya melibatkan hanya 40 kematian dalam populasi 5 juta tetapi pegawai mengakui Delta menyebabkan matlamat itu tidak lagi dapat dicapai.
Hipkins mengakui ramai warga New Zealand mahu sempadan dibuka untuk Krismas tetapi berkata ia bukan harapan yang realistik.
“Pandemik global masih berterusan, dengan jumlah kes melonjak di Eropah dan bahagian lain di dunia,” katanya.
“Jadi kita perlu berhati-hati membuka semula sempadan, itulah yang kita akan lakukan dan apa yang selalu kita lakukan.”
Hipkins berkata mulai bulan depan India, Pakistan, Indonesia, Fiji dan Brazil tidak lagi diklasifikasikan sebagai negara berisiko tinggi, menjadikan warganegara mereka layak ke New Zealand mulai 30 April.
Beliau berkata terdapat kemungkinan membolehkan pelajar antarabangsa dan warga Australia melakukan perjalanan sebelum 30 April tetapi tiada jaminan. – AFP, 24 November, 2021.
Komen