Hakim Missouri bebas lelaki dipenjara secara salah selama 43 tahun


Pembebasan Kevin Strickland selepas 43 tahun merengkok dalam penjara menjadikan beliau antara banduan paling lama dipenjarakan di AS yang disabitkan secara salah. – Gambar AFP, 24 November, 2021.

HAKIM di negeri Missouri barat tengah Amerika Syarikat (AS) pada Selasa memerintahkan pembebasan serta-merta seorang lelaki kulit hitam yang menghabiskan 43 tahun dalam penjara kerana tiga pembunuhan yang tidak dilakukannya.

Kevin Strickland, 62, disabitkan oleh juri berkulit putih pada 1979 kerana pembunuhan di Kansas City, Missouri, dan dijatuhi hukuman penjara seumur hidup.

Strickland dengan tegas mengisytiharkan beliau tidak bersalah dan Pejabat Pendakwa Daerah Jackson bersetuju awal tahun ini beliau disabitkan secara salah.

Selepas semakan kes, Hakim James Welsh mengarahkan pembebasan segera Strickland pada Selasa.

Pembebasan Strickland selepas 43 tahun di dalam penjara menjadikan beliau antara banduan paling lama dipenjarakan di AS yang disabitkan secara salah, menurut National Registry of Exonerations.

Strickland disabitkan bersalah selepas perbicaraan kedua—yang pertama berakhir dengan perbicaraan silap—terhadap pembunuhan 25 April 1978 membabitkan tiga individu yang diikat dan ditembak.

Satu-satunya mangsa terselamat, Cynthia Douglas, mengenal pasti Strickland sebagai seorang daripada empat lelaki yang melakukan tembakan itu tetapi kemudian menarik balik keterangannya.

Dua daripada lelaki yang disabitkan dengan pembunuhan itu berkata Strickland tidak terlibat dan mengenal pasti dua lelaki lain yang menyertai mereka.

Juga tiada bukti mengaitkan Strickland dengan jenayah itu dan memberikan alibi di mana beliau berada semasa kejadian.

“Strickland disabitkan kesalahan semata-mata atas keterangan saksi mata Douglas, yang kemudiannya menarik balik kenyataannya,” kata hakim itu.

“Di bawah keadaan unik ini, keyakinan mahkamah terhadap sabitan Strickland sangat terjejas sehingga ia tidak boleh dipertahankan, dan penghakiman sabitan mesti diketepikan.

“Mahkamah dengan ini memerintahkan pembebasan segera Strickland.”

Pendakwa raya Jackson County Jean Peters Baker mengalu-alukan keputusan itu.

“Ini akhirnya memberi keadilan kepada seorang lelaki yang menderita secara tragis akibat sabitan kesalahan ini,” kata Baker dalam satu kenyataan.

Kes Strickland diperjuangkan oleh The Midwest Innocence Project dari Universiti Missouri–Kansas City School of Law, menyokong mereka yang disabitkan secara salah. – AFP, 24 November, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen