Vaksin Covid-19 remaja berkesan 100% selepas 4 bulan, kata Pfizer


Pfizer berkata kajian terhadap 2,228 peserta menunjukkan vaksinnya kekal 100% berkesan pada kanak-kanak berumur 12 hingga 15 tahun, empat bulan selepas dos kedua. – Gambar EPA, 24 November, 2021.

PFIZER dan BioNTech berkata pada Isnin, vaksin Covid-19 mereka kekal 100% berkesan pada kanak-kanak berumur 12 hingga 15 tahun, empat bulan selepas dos kedua.

Syarikat itu berkata data baharu itu, yang melibatkan percubaan terhadap 2,228 peserta, akan membantu menyokong permohonan mereka bagi kelulusan penuh di Amerika Syarikat (AS) dan seluruh dunia.

Tiada kebimbangan keselamatan yang serius diperhatikan pada individu dengan sekurang-kurangnya enam bulan susulan selepas dos kedua.

“Memandangkan komuniti kesihatan global berusaha meningkatkan bilangan orang yang divaksinasi di seluruh dunia, data tambahan ini memberikan keyakinan seterusnya terhadap profil keselamatan dan keberkesanan vaksin kami di kalangan remaja,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Pfizer Albert Bourla dalam satu kenyataan.

“Ini amat penting kerana kami melihat kadar kenaikan Covid-19 dalam kumpulan umur ini di beberapa wilayah, manakala pengambilan vaksin perlahan. Kami berharap untuk berkongsi data ini dengan FDA dan pengawal selia lain.”

Vaksin itu diberikan “kelulusan penggunaan kecemasan” untuk remaja oleh AS pada Mei dan syarikat itu merancang mendapatkan kelulusan penuh tidak lama lagi. 

Pada ketika ini, kelulusan penuh vaksin hanya untuk mereka yang berumur 16 tahun ke atas.

Di antara 2,228 peserta, terdapat 30 kes Covid-19 bergejala yang disahkan tanpa bukti jangkitan sebelumnya, semuanya dalam kumpulan plasebo.

Ini sepadan dengan keberkesanan vaksin sebanyak 100%. Keberkesanan adalah tinggi secara konsisten tanpa mengira jantina, kaum, tahap obesiti dan status komorbiditi.

Kebimbangan keselamatan utama dalam kumpulan umur ini ialah miokarditis berkaitan vaksin (keradangan jantung) pada lelaki.

Tetapi kes sedemikian sangat jarang berlaku, dan faedah vaksinasi terus melebihi risiko, berdasarkan data. Covid-19 sendiri boleh menyebabkan miokarditis, dengan lebih kerap dan teruk. – AFP, 24 November, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen