PERTUBUHAN bukan kerajaan Citizens Against Enforced Disappearences (Caged) hari ini mengegsa Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengeluarkan laporan mengenai aktivis Amri Che Mat yang hilang sejak lima tahun lalu.
Caged dalam kenyataan berkata esok genap 60 bulan Amri hilang selepas diculik tidak jauh dari rumahnya di Perlis, seperti kehilangan Pastor Raymond Koh beberapa bulan kemudian pada 13 Februari 2017, katanya.
“Esok, hampir 29 bulan semenjak Suruhanjaya Hak Asasi Malaysia (Suhakam), menetapkan bahawa Amri adalah mangsa kehilangan paksa yang dilakukan oleh Cawangan Khas (SB) dari PDRM.
“Esok, hampir 21 bulan semenjak Pasukan Petugas Palsu (Bogus) yang diwujudkan oleh mantan menteri dalam negeri (Muhyiddin Yassin) untuk menyiasat kesimpulan laporan Suhakam serahkan laporannya.
“Esok adalah hari yang baik untuk mengeluarkan laporan oleh pasukan petugas yang telah ditugaskan. Adakah Menteri dalam Negeri Hamzah Zainudin akan melaksanakan perkara ini? Adakah Perdana Menteri Ismail Sabri akan mengarahkan beliau untuk melaksanakan tugasnya?” kenyataan itu dipetik.
Caged juga berkata ia tetap berpendirian bahawa Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) perlu ditubuhkan susulan Suhakam menyimpulkan Amri dan Koh adalah mangsa kehilangan paksa yang dilakukan oleh anggota polis.
“Kebanggaan ketika menyarungkan pakaian seragam harus dipulihkan. Salah satu cara untuk memastikan ia terlaksana adalah dengan menubuhkan IPCMC – dengan kuasa yang melebihi segala kuasa.
“Beri penghormatan buat Amri, Raymond (Koh), dan mereka yang telah menjadi mangsa pihak polis. Berani untuk mengimpikan IPCMC sebenar. Tubuhkan dan laksanakannya,” kata NGO itu.
Jelasnya, siasatan Suhakam mendapati kes kehilangan Amri mempunyai banyak persamaan dengan penculikan Koh pada 13 Februari 2017.
Antaranya, kenderaan Toyota Vios berwarna emas ada dilihat di kedua-kedua kejadian yang berlaku.
“Saksi di Perlis ada mencatatkan nombor pendaftaran kereta tersebut. Pihak polis cuba untuk menyembunyikan identiti pemilik kereta tersebut, namun gagal.”
Polis kemudiaannya membuat pengakuan bahawa pemilik kereta tersebut adalah Saiful Bahari Abdul Aziz, yang bekerja dengan polis. Polis mendakwa Saiful gagal melaporkan diri di tempat kerja sejurus selepas Suhakam mula membuat siasatan kes tersebut, katanya.
Amri adalah pengasas bersama Perlis Hope, NGO yang menghulurkan bantuan kepada golongan kurang berkemampuan di Perlis.
Mufti Perlis Asri Zainul Abidin mendakwa Amri pengikut ajaran Syiah, tetapi dinafikan isteri aktivis itu, Norhayati Ariffin, semasa inkuiri Suhakam. – 23 November, 2021.
Komen