Siasatan dalaman kementerian ke atas Mitra hanya selepas SPRM selesai, kata Halimah 


Chan Kok Leong

Dana Mitra diwujudkan untuk menyediakan program sosio-ekonomi kepada masyarakat India.– Gambar fail The Malaysian Insight, 23 November, 2021.

KEMENTERIAN Perpaduan Negara akan menjalankan siasatan dalaman terhadap Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (Mitra) hanya selepas siasatan rasmi agensi anti-rasuah selesai, kata menterinya Halimah Mohamed Sadique.

“Kita akan siasat untuk melihat siapa yang meluluskan pemberian geran dan sama ada ia mematuhi proses,” katanya di Dewan Rakyat ketika menggulung perbahasan peruntukan kementerian di bawah Rang Undang-undang Perbekalan 2022 di peringkat jawatankuasa hari ini.

“Tetapi kita hanya boleh melakukan ini selepas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyelesaikan siasatannya,” tambah ahli Parlimen Kota Tinggi itu.

Halimah bagaimanapun tidak menjelaskan mengapa siasatan dalaman hanya boleh dijalankan selepas agensi anti rasuah itu menyelesaikan siasatan mereka.

“Jangan risau. Saya akan menyiasat perkara ini,” katanya memberi jaminan kepada ahli Parlimen.

“Kami yang meminta SPRM siasat Mitra dan oleh itu tiada apa-apa untuk kami sembunyikan.”

Oktober lalu, SPRM menahan 16 pengarah syarikat berhubung dakwaan penyelewengan dana Mitra, sebuah unity yang ditubuhkan untuk menyediakan program sosio-ekonomi kepada masyarakat India.

Mereka yang terlibat berusia antara 24 hingga 68 tahun dan ditahan di sekitar Lembah Klang kerana didakwa menyeleweng puluhan juta ringgit daripada tabung itu.

Sumber mendedahkan bahawa salah seorang pengarah terlibat memohon peruntukan yang kemudiannya dikongsi dengan individu lain.

Dana Mitra, yang diwujudkan oleh perdana menteri ketika itu Najib Razak pada mulanya diletakkan di bawah Jabatan Perdana Menteri sebelum ia dipindahkan ke Kementerian Perpaduan Negara.

Antara dakwaan penyelewengan adalah kes dana yang diberikan sejak 2018 untuk menjalankan kursus latihan gubahan bunga, kelas tuisyen untuk murid sekolah rendah dan kursus perkahwinan, tidak ada satu pun yang dijalankan. – 23 November, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen