Azis Jamman dipanggil beri keterangan berkait sentimen Sabah keluar Malaysia


Chan Kok Leong

Ahli Parlimen Sepanggar Mohd Aziz Jamman dipanggil untuk beri keterangan kepada polis berhubung kenyataan beliau berkenaan wujudnya gesaan menuntut Sabah keluar dari Malaysia. – Gambar fail The Malaysian Insight, 23 November, 2021.

POLIS telah memanggil Ahli Parlimen Sepanggar Mohd Aziz Jamman untuk memberi keterangan berhubung ucapan beliau di Dewan Rakyat awal bulan ini bahawa wujud gesaan lantang menuntut Sabah keluar dari Malaysia.

Azis pada sidang media di Parlimen hari ini berkata beliau disiasat atas kenyataannya semasa perbahasan Belanjawan 2022 pada 9 November lalu.

“Saya agak terkejut selepas dimaklumkan polis. Terutamanya sejak saya menyentuh keluhan rakyat Sabah berkenaan peruntukan yang diberi kepada Sabah.

“Tetapi saya berpegang dengan apa yang saya katakan di Parlimen sebelum ini dan akan terus memperjuangkan apa sahaja perkara yang tidak adil kepada Sabah.

“Terdapat ahli parlimen lain yang bercakap mengenai isu sama tetapi agak mengejutkan, kerana hanya saya yang dipanggil dan disiasat.

“Saya harap kerajaan dapat memberi penjelasan mengenai perkara ini,” kata bekas timbalan menteri dalam negeri dari Parti Warisan Sabah itu.

Semasa perbahasan Belanjawan 2022 di Dewan Rakyat pada 9 November lalu, Azis memberi amaran ada gerakan yang semakin lantang menuntut Sabah keluar dari Malaysia kerana jumlah peruntukan yang tidak adil kepada negeri itu.

Sehari sebelum itu, Timbalan Ketua Menteri Sabah Jeffrey Kitingan (Keningau-Star) juga pernah berkata 60% rakyat Sabah dan Sarawak untuk keluar dari Malaysia.

Ahli-ahli Parlimen diberi keistimewaan untuk bebas bersuara di Parlimen kecuali bagi kes melibatkan Akta Hasutan 1948.

Pada 1982, ahli Parlimen dari Barisan Nasional Mark Koding bersalah di bawah Akta Hasutan kerana mempersoalkan kewujudan sekolah vernakular di Malaysia dan papan tanda jalan dengan tulisan Mandarin dan Tamil. – 23 November, 2021.  


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen