New Zealand tamat sekatan pergerakan Auckland awal Disember


Perdana Menteri New Zealand Jacinda Ardern sekatan pergerakan selama tiga bulan setengah di Auckland akan ditamatkan awal bulan Disember. – Gambar EPA, 22 November, 2021.

SEKATAN pergerakan selama tiga bulan setengah di bandar terbesar New Zealand, Auckland, akan ditamatkan awal bulan depan, kata Perdana Menteri Jacinda Ardern.

Keputusan itu berikutan New Zealand akan melaksanakan strategi baharu mengawal jangkitan Covid-19 di negara itu, katanya.

Ardern pada sidang media hari ini berkata, strategi baharu itu akan mula dilaksanakan mulai 11.59 malam pada 2 Disember ini, dengan sasaran untuk mengekang varian Delta yang mudah berjangkit.

“Hakikatnya varian Delta memang tidak akan lenyap.

“Walaupun tiada negara berjaya menghapuskan varian Delta dengan sepenuhnya, New Zealand dalam kedudukan lebih baik untuk menanganinya,” katanya.

Tindak balas virus korona Ardern setakat ini adalah untuk menuju ke arah “Covid Sifar” iaitu menghapuskan virus berkenaan dengan sekatan pergerakan, pengesanan kontak serta kawalan sempadan.

New Zealand ketika ini masih melaksanakan strategi penghapusan ‘sifar Covid-19’ melalui sekatan pergerakan, pengesanan kontak serta kawalan sempadan. Strategi itu berjaya mengawal kematian akibat Covid-19 kepada hanya 40 kes.

Kerajaan Ardern didesak menamatkan sekatan pergerakan di Auckland yang dikuatkuasakan pada pertengahan Ogos, ketika varian Delta pertama kali dikesan di New Zealand.

Ardern pada awalnya merancang melaksanakan strategi baharu apabila kadar vaksinasi di negara itu mencapai 90%. 

Kerajaan bagaimanapun memutuskan untuk melaksanakannya bermula 2 Disember ini walaupun kadar vaksinasi ketika ini sekitar 83%. – AFP, 22 November, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen