BEKAS perdana menteri Dr Mahathir Mohamad hari mengejutkan penduduk di Precint 2 Putrajaya apabila muncul di pasar tani di sana petang tadi.
Rakaman video yang disiarkan secara langsung di akaun Facebook Dr Mahathir meraih 1,800 tontonan, 283 kongsian dan lebih 900 komen dalam tempoh kurang dari sejam.
Dr Mahathir memulakan lawatannya ke pasar tani itu pada kira-kira jam 5.30 petang.
Laungan “Hidup Tun!” kedengaran di mana sahaja beliau pergi, seolah-olah menyangkal pendapat umum mengatakan bekas perdana menteri berusia 92 tahun itu tidak popular di kalangan penjawat awam.
Putrajaya yang menjadi pusat pentadbiran kerajaan yang dibina semasa zaman pemerintahan Dr Mahathir itu, mempunyai lebih 16,000 pengundi yang majoritinya adalah penjawat awam.
Kerusi Putrajaya yang diwujudkan ketika persempadanan semula pada 2013, merupakan satu dari tiga kerusi yang disebut-sebut Dr Mahathir akan beliau tandingi pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
Dua kerusi lain ialah Langkawi dan Kubang Pasu di Kedah.
Bagaimanapun, para penganalisis memberitahu The Malaysian Insight bahawa peluang untuk Pengerusi Pakatan Harapan itu untuk menang di Putrajaya adalah tipis kerana bilangan penjawat awam di situ tinggi.
Kerusi Putrajaya kini dipegang Menteri Wilayah Persekutuan Tengku Adnan Tengku Mansor yang mengalahkan Naib Presiden Amanah Husam Musa yang bertanding atas tiket PAS pada 2013 dengan majoriti 5,541 undi.
Tengku Adnan memegang kerusi Putrajaya sejak 2004. – 30 Januari, 2018.
Komen