PH yakin rampas 31 kerusi Parlimen marginal BN


Amin Iskandar

Pakatan Harapan yakin mereka diterima pengundi sekiranya mesej pilihan raya jelas. – Gambar fail The Malaysian Insight, 21 Mei, 2017.

PAKATAN Harapan (PH) yakin mampu merampas 31 kerusi Parlimen yang dimenangi Barisan Nasional (BN) dengan majoriti tipis pada PRU13 lalu sekiranya berjaya menyampaikan mesej yang ditawarkan mereka kepada kumpulan pengundi sasaran.

Ahli strategi PH berkata, mereka akan turut menggunakan kempen berteknologi tunggi seperti analisis data raya atau “big data” untuk berdepan dengan BN pada PRU14.

Pengarah Strategi Amanah Dr Dzulkefly Ahmad berkata, strategi kempen PH adalah meluaskan penerangan secara tersasar kepada segmen pengundi tertentu.

“Kami perlu terangkan kepada rakyat sebenarnya hanya ada 2 penjuru, satu, Umno-BN yang mahu kekal berkuasa dan PH yang mahu menamatkan kebobrokan pemerintahan Perdana Menteri Najib Razak,” katanya kepada The Malaysian Insight.

“Mengundi pihak ketiga memberikan kemenangan kepada Najib, Umno dan BN, mesej ini perlu tegas, tuntas khasnya dalam perlawanan 3 penjuru”.

Bekas ahli Parlimen Kuala Selangor itu berkata, PH perlu memberikan penerangan terutamanya kepada pengundi Melayu bahawa nasib mereka akan terbela sekalipun BN kalah pada PRU14.

“Rakyat dan pengundi Melayu-Islam khasnya perlu tahu kedudukan politik dan ekonomi mereka akan lebih terbela dan diperkukuhkan, apabila kepimpinan Melayu korup dan rakus dikalahkan dan ditamatkan,” katanya.

The Malaysian Insight hari ini melaporkan yang pakar strategi BN sedang menganalisis dan mengkaji kaedah berkempen untuk terus menang di 31 kerusi itu walaupun kemungkinan pertandingan tiga penjuru akan memberikan kelebihan kepada parti pemerintah.

Kerusi Parlimen berisiko tinggi itu termasuk Bagan Datok, Padang Rengas, Teluk Intan, Jerai, Kuala Selangor, Titiwangsa, Bentong, Labis, Pasir Gudang dan Pulai – dimenangi pemimpin kanan BN yang juga tersenarai sebagai antara 128 kerusi boleh menang dalam ramalan mereka pada PRU14.

Terdapat juga hampir 60 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) berdepan risiko sama.

Simulasi 3 penjuru

Ketua Biro Strategi dan Dasar Bersatu Dr Rais Hussin berkata, partinya sudah melakukan 27 simulasi sekiranya pertembungan 3 penjuru berlaku pada PRU14.

“Yang paling penting, PH mestilah mempamerkan mereka adalah alternatif yang berkredibiliti kepada rakyat dan tawaran PH mestilah sesuai dengan kehendak rakyat dan dikomunikasikan dengan bahasa yang mudah.

“Walaupun sukar, dengan pendekatan taktikal dan disasarkan di kerusi-kerusi yang BN menang secara tipis, ditambah dengan strategi spesifik kami di kawasan-kawasan tertentu, tiada apa yang mustahil,” kata Rais kepada The Malaysian Insight.

Rais berkata, kesusahan yang dihadapi rakyat Malaysia pada hari ini disebabkan keadaan ekonomi tidak begitu baik memberikan peluang besar kepada PH untuk menawan Putrajaya pada PRU14.

“Kita sedang melakukan tiga lagi tinjauan memfokuskan tentang ‘Apa yang dimahukan rakyat Malaysia’.

“Dengan kajian analitikal kita akan dapat memahami apakah keperluan dan kemahuan rakyat yang akan digunakan dalam melakar naratif dan mesej pilihan raya. Kami menggunakan bantuan ‘anak tempatan’ yang lebih memahami politik negara,” katanya.

Pakatan Harapan akan menggunakan kaedah analitikal data raya untuk memahami keperluan dan kemahuan rakyat dalam usaha merampas tampuk pemerintahan sewaktu PRU 14.  – Gambar fail The Malaysian Insight, 21 Mei, 2017

Kerusi bahaya BN mungkin bertambah

Bagi Pengarah Strategi PKR Sim Tze Tzin, keadaan ekonomi yang tenat, kos sara hidup meningkat, pengenalan cukai barang dan perkhidmatan (GST) dan kepimpinan Najib menyebabkan kerusi bahaya BN mungkin bertambah.

Katanya, walaupun BN menang pada PRU13, kerusi-kerusi seperti Segamat, Bagan Serai, Kulim Bandar Baru dan Johor Baru tidak lagi selamat kepada gabungan pemerintah itu.

Ahli Parlimen Bayan Baru itu berkata, terdapat 81 kerusi Parlimen bakal menjadi tumpuan di mana pemenangnya hanya menang dengan 10 peratus undi majoriti pada PRU13.

“Dalam PRU13, BN menang 51 kerusi, manakala 30 dimenangi Pembangkang. Kawasan-kawasan ini bakal menjadi penentu dalam PRU14.

“Tetapi saya sangat yakin PH akan memenangi hati rakyat sekiranya tawaran manifesto menyakinkan dan rekod pentadbiran baik di beberapa negeri yang kami perintah,” katanya.

Beliau bagaimanapun berkata, PH perlu memberikan tumpuan kempen pilihan raya berteknologi tinggi seperti analisis data raya ataupun “big data” sekiranya mahu menang.

“Sejarah membuktikan sesiapa yg menguasai teknologi mempunyai kelebihan.

“Dalam PRU12 email digunakan. Dalam PRU13 Facebook dan media sosial digunakan sebagai bahan kempen,” katanya.

Pengarah Strategi Pilihan Raya DAP Dr Ong Kian Ming bersetuju dengan Sim tentang kepentingan kempen menggunakan analisis data raya pada PRU14.

“Big data merupakan salah satu strategi politik yang baru dan memainkan peranan yang penting pada PRU akan datang.

“PH juga akan menggunakan strategi ‘big data’ untuk mendekati pengundi dan menyalurkan mesej tersasar kepada mereka,” katanya.

Ahli Parlimen Serdang itu bagaimanapun berkata tidak dapat dinafikan PAS mungkin akan menjadi “pengacau” dalam pertembungan tiga penjuru pada PRU14.

“Cabaran PH adalah untuk memberikan pengundi satu mesej yang jelas di mana satu undi untuk mana-mana parti selain PH adalah satu undi untuk BN dan perubahan tidak akan berlaku,” katanya. – 21 Mei, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen