PILIHAN Raya Negeri (PRN) Melaka yang menyaksikan MCA menang dua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) mencetuskan cakap-cakap mengenai kebangkitan parti utama Cina itu dalam Barisan Nasional (BN).
Beberapa penganalisis berpandangan kejayaan parti itu adalah di luar jangkaan apabila menang di dua daripada tujuh kerusi yang ditandinginya ketika berdepan dengan musuh tradisi, DAP dan bekas rakan komponen, Gerakan.
MCA bertanding di Machap Jaya, Klebang, Ayer Keroh, Kesidang, Kota laksamana, Bandar Hilir dan Bemban.
Calonnya memenangi kerusi Machap Jaya dan Klebang.
Penganalisis juga memberitahu The Malaysian Insight kekalahan DAP di empat daripada lapan kerusi yang ditandinginya adalah amaran daripada masyarakat Cina kepada parti itu.
Menurut penganalisis politik Lum Chih Feng, pengundi Cina di Melaka memutuskan untuk menghukum DAP susulan kegagalan parti itu menangani isu yang melibatkan masyarakat terbabit.
Ini memberikan ruang kepada MCA bernafas untuk mencetuskan kebangkitannya.
“Keadaan di sini adalah sama seperti situasi di PRK Tanjung Piai pada 2019. Orang Cina pada asasnya masih tidak bersetuju dengan BN dan Perikatan Nasional namun perselisihan pendapat ini tidak bermakna mereka menolak sepenuhnya DAP.
“Namun jika MCA mampu menonjol ketika di bawah pentadbiran kerajaan BN kali ini dan mendapatkan semula keyakinan pengundi mereka, maka MCA boleh kembali ke zaman kegemilangannya seperti sebelum 2013,” katanya.
MCA memenangi 15 kerusi Parlimen pada pilihan raya umum 2008, namun ia mula merosot pada 2013 di mana parti itu hanya memenangi tujuh kerusi Parlimen dan 11 kerusi DUN.
Pada PRU14, MCA hanya memenangi satu kerusi Parlimen iaitu di Ayer Hitam menerusi Wee Ka Siong yang kini menjadi presiden parti.
Parti itu kemudiannya memenangi kerusi Parlimen Tg Piai dalam pilihan raya kecil.

“Saya meramalkan wakil rakyat MCA yang menang akan berkhidmat sebagai ahli exco negeri dalam kerajaan baharu.
“Dengan ini, BN akan menunjukkan bahawa modelnya masih berkesan di Melaka malah di seluruh negara,” kata Lum.
Beliau menambah, PRN Melaka memberi peluang kepada BN dan MCA sekali gus membolehkan gabungan itu mengubah persepsi pengundi bukan Islam terhadap BN.
Amaran kepada DAP
Profesor Madya di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Lau Zhe Wei pula berkata terdapat dua faktor kekalahan DAP di empat kerusi DUN Melaka.
Faktor pertama, katanya adalah peratusan keluar mengundi rendah yang tidak memberikan sebarang kelebihan kepada DAP dan Pakatan Harapan.
Kedua, beliau mendakwa pengundi Cina di kawasan separa bandar dan luar bandar tidak lagi menyokong DAP seperti yang mereka lakukan pada pilihan raya umum lalu.
“DAP tidak mempunyai masalah dengan orang Cina di kawasan bandar. Masalahnya terletak di daerah pilihan raya bukan bandar. Dan anda akan dapati bahawa daerah pilihan raya ini mempunyai pengaruh kecil dalam apa yang dipanggil isu utama, seperti berpaling tadah kepada parti dan rasuah.
“Ia akan menjadi isu etnik, agama, peribadi, dan lain-lain,” katanya.
Justeru, tambahnya BN mempunyai kelebihan di kerusi separa bandar dan luar bandar.


Penganalisis politik kanan dan wartawan veteran Cheah See Kian berkata keputusan di Melaka adalah amaran kepada DAP.
“Walaupun DAP masih berjaya memegang beberapa kerusi tradisinya, ia masih kehilangan separuh daripada kerusi yang dipertandingkan.
“Dulu pengundi menyokong DAP tetapi kali ini mereka menjadi selektif, membolehkan mereka memilih MCA atau parti lain.
“Punca utama selepas DAP berkuasa pada 2018, prestasi mereka dalam semua aspek tidak memuaskan hati pengundi.
“Dalam hampir dua tahun memerintah, DAP terjerat dalam beberapa isu kontroversi seperti pengenalan tulisan Jawi di sekolah dan kelewatan pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC).
“Ini memberi gambaran kepada pengundi bahawa parti itu tidak jauh berbeza dengan MCA pada masa lalu.”
Beliau bagaimanapun memberi amaran kepada MCA bahawa kemenangannya di Melaka tidak boleh dianggap sebagai penunjuk untuk pilihan raya umum akan datang.
“Dua kerusi yang dimenangi MCA pernah menjadi kubu parti, tetapi mereka kalah pada pilihan raya umum 2018.
“Kali ini mereka berjuang untuk memberikan penduduk setempat rasa akrab dan mendapat kelebihan. Bagi DAP pula, pelan penempatan calon parti tidak memuaskan.”
Beliau menambah, keputusan PRN Melaka menunjukkan MCA masih mempunyai harapan untuk pilihan raya umum akan datang. – 22 November, 2021.
Komen