PEMIMPIN Wanita Pakatan Harapan hari ini berkata mereka tidak percaya dengan penjelasan polis berhubung sebab mereka memanggil Dr Siti Hasmah untuk diambil keterangan.
Isteri pengerusi PH dan bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad berusia 91 tahun itu, diambil keterangan minggu lalu bagi membantu siasatan berhubung perhimpunan wanita Purple Walk yang menentang ketidakadilan politik Malaysia pada 10 September, 2017 yang diadakan tanpa permit.
Polis berkata, beliau tidak disoal siasat dan kenyataannya dirakam secara profesional. Malah beliau turut dilayan dengan baik.
Namun penolong setiausaha publisiti Wanita DAP Syerleena Abdul Rshid hari ini berkata, tiada keperluan untuk memanggil Dr Siti Hasmah dan penjelasan pihak polis “masih agak kabur”.
“Kebanyakan daripada kami masih sangsi dengan niat sebenar mereka.
“Tanpa menghiraukan keadaan, hakikatnya masih ada: membawa Dr Siti Hasmah sebagai tindakan menakutkan,” katanya.
Ahli Parlimen Batu Kawan, P. Kasthuriraani dari DAP turut menyatakan tindakan polis memanggil Dr Siti Hasmah adalah taktik untuk menakutkan.
“Sudah 127 hari sejak perhimpunan Purple Walk. Sekiranya benar beliau melakukan kesalahan atau melakukan ancaman terhadap keselamatan, polis tidak perlu tunggu sehingga 127 hari,” katanya.
Ahli Parlimen itu berkata Dr Siti Hasmah tidak akan menjadi wanita terakhir yang akan disoal oleh polis kerana pilihan raya umum ke 14 semakin hampir.
“Kita boleh jangkakan ahli politik dan aktivis akan dipanggil polis seorang demi seorang,” katanya.
Pada perhimpunan Purple Walk, Dr Siti Hasmah menyampaikan ucapan ringkas sambil berdiri di belakang sebuah kenderaan pikap di hadapan lebih 1,000 wanita berpakaian ungu yang berarak dari pusat membeli belah Maju Junction ke Kompleks Pertama di ibu negara.
Beliau menggesa wanita untuk menentang “politik toksik”, termasuk ketidakadilan wanita, kekejaman politik, pengunaan ancaman, perkauman, ucapan kebencian, penyalahgunaan undang-undang dan pengabaian perlembagaan persekutuan.
Kasthuriraani berkata dalam hal ini, hak rakyat untuk berhimpun juga tidak dihormati.
“Malah, kami berhimpun untuk menentang taktik menakut-nakutkan pada hari berkenaan.”
Katanya, polis menunjukkan kecekapan dan kepantasan mereka menyiasat sesetengah kes, seperti kes pembunuhan warga Korea Utara Kim Jong-nam dan posting Facebook yang menghina perdana menteri.
Namun dalam kes ancaman dan penghinaan terhadap ahli politik pembangkang dan aktivis sosial, seperti ancaman bunuh gaya ISIS, terhadap pengerusi Bersih Maria Chin Abdullah dan anaknya dua tahun lalu, polis masih belum menemui petunjuk, katanya.
“Kami tidak nampak kecekapan dalam menahan mereka yang bertanggungjawab atas politik toksik.”
Syerleena turut menegaskan setakat ini, tiada tindakan diambil ke atas kleptokrat dan mereka yang bertanggungjawab terhadap “ibu segala skandal yang pernah disaksikan Malaysia” 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan ahli perniagaan Jho Low yang mempunyai kaitan dengan skandal itu.
“Apabila dibandingkan semua perkara di atas dengan perhimpunan, yang hanya bertujuan untuk menonjolkan ketidakadilan terhadap wanita dan keperluan untuk menghapuskan politik toksik, pasti, pihak berkuasa dapat membezakan antara dua kejahatan,” katanya.
Syerleena dan Kasthuriraani merupakan antara pemimpin Wanita PH yang menyuarakan sokongan terhadap Dr Siti Hasmah pada sidang media di ibu pejabat DAP, hari ini.
“Beliau bukan ahli politik. Beliau tidak pernah menyertai politik sepanjang 22 tahun Dr Mahathir menjadi perdana menteri.
“Dr Siti Hasmah hadir pada perhimpunan itu hanya untuk memberikan sokongan dan bercakap bagi pihak wanita. Beliau tidak melakukan apa-apa tindakan atau keganasan.” – 30 Januari, 2018.
Komen