PENGERUSI Barisan Nasional (BN) Ahmad Zahid Hamidi dan pengerusi BN Melaka Ab Rauf Yusoh masing-masing didenda RM10,000 kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 ketika pilihan raya negeri itu.
Kementerian Kesihatan dalam satu kenyataan berkata kompaun dikeluarkan selepas mereka didapati melanggar SOP dengan mengadakan lawatan rumah ke rumah walaupun ia tidak dibenarkan dan juga tidak memakai pelitup muka pada 19 November.
“Siasatan yang dijalankan KKM mendapati berlaku pelanggaran SOP ketika tempoh pilihan raya di Melaka oleh dua individu pada 19 November di kawasan Masjid Tanah.
“Satu kompaun di bawah Peraturan 16 P.U(A) 293/2021, Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di dalam Kawasan Tempatan Jangkitan (Pelan Pemulihan Negara) 2021 berjumlah RM10,000 bagi setiap individu dikeluarkan.
“Kompaun itu dikeluarkan berikutan pelanggaran SOP Pencegahan Covid-19 yang dilaksanakan bagi pilihan raya negeri Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka ke-15, di mana mereka menjalankan aktiviti berkempen dari rumah ke rumah serta tidak memakai topeng muka,” kata kementerian itu dalam satu kenyataan hari ini.
Sebelum pilihan raya Melaka, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berkata ceramah, ucapan awam dan kempen fizikal tidak dibenarkan semasa pilihan raya negeri Melaka.
Menurut pengerusinya Abdul Ghani Salleh, kesemua SOP itu telah diluluskan oleh Kementerian Kesihatan.
Kementerian berkata SOP itu dilaksanakan pada pilihan raya kali ini bagi mengelak penularan wabak itu dan juga memastikan pilihan raya berjalan lancar.
Kementerian menggesa semua pihak untuk terus mematuhi SOP, sambil menambah bahawa mereka tidak akan teragak-agak untuk mengeluarkan kompaun kepada sesiapa yang melanggarnya.
“KKM akan terus memantau pematuhan SOP dan tidak akan teragak-agak untuk mengeluarkan kompaun kepada individu atau organisasi yang melanggarnya,” kata kementerian itu.
Dalam pilihan raya Melaka semalam, BN memperoleh kemenangan besar, memenangi 21 daripada 28 kerusi yang ditandinginya, sekali gus memberikan mereka majoriti dua pertiga.
Sebaliknya, pesaing BN Pakatan Harapan memenangi lima kerusi dan Perikatan Nasional memenangi dua kerusi. – 21 November, 2021.
Komen