SEBANYAK 77,010 penduduk negeri Johor menerima dos penggalak hingga 19 November lepas, Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor hari ini diberitahu.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar R Vidyananthan berkata pelaksanaan pemberian dos penggalak vaksin Covid-19 bermula pada 13 Oktober lepas dengan menggunakan vaksin Cominarty (Pfizer).
“Buat masa ini, pemberian dos penggalak dilaksanakan bagi penerima vaksin Cominarty sekurang-kurangnya enam bulan lepas daripada dos kedua dan penerima vaksin Sinovac sekurang-kurangnya tiga bulan daripada dos kedua.
“Dos penggalak ini diutamakan kepada anggota barisan hadapan (kesihatan dan keselamatan), warga emas berusia 60 tahun ke atas, individu berusia 40 tahun ke atas dan golongan komorbid berusia 18 tahun ke atas,” katanya pada Persidangan Keempat DUN ke-14 di Bangunan Sultan Ismail, di sini hari ini.
Bagaimanapun, Vidyananthan (MIC-Kahang) berkata dos penggalak akan diperluas kepada semua penduduk apabila melepasi tempoh yang disyorkan selepas menerima vaksin dos lengkap.
“Sehingga kini, golongan remaja dan pelajar sekolah belum disyorkan untuk menerima dos penggalak,” katanya.
Beliau berkata pemberian dos penggalak di negeri itu diterajui oleh pengamal perubatan swasta di bawah penyelarasan ProtectHealth Corporation Sdn. Bhd.
Vidyananthan berkata penggunaan klinik swasta perlu diutamakan bagi memastikan fasiliti Kementerian Kesihatan (KKM) dapat menyediakan perkhidmatan kesihatan yang selama ini telah terganggu kerana pandemik Covid-19.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan mengenai status pemberian dos penggalak untuk rakyat Johor yang dikemukakan Jimmy Puah Wee Tse (PH-Bukit Batu), Ng Yak Howe (PH-Ng Yak Howe), Dr Faizul Amri Adnan (PH-Serom), Yeo Tung Siong (PH-Pekan Nanas) dan Cheo Yee How (PH-Perling. – Bernama, 21 November, 2021.
Komen