PULUHAN ribu menyertai perhimpunan di bandar di seluruh Eropah dan Australia semalam apabila kemarahan memuncak terhadap sekatan baharu Covid-19 yang dikenakan disebabkan pandemik yang kembali melanda.
Polis Belanda berdepan malam kedua rusuhan – kali ini di The Hague – selepas keganasan malam sebelumnya di bandar pelabuhan Rotterdam.
Pertempuran tercetus selepas seharian protes aman terutamanya di tempat lain di Belanda dengan perusuh membaling batu dan bunga api ke arah polis dan membakar basikal. Beberapa orang sudah ditangkap.
Eropah sedang bertarung dengan gelombang baharu jangkitan dan beberapa negara mengetatkan sekatan dengan Austria semalam mengumumkan penutupan separa di seluruh negara – sekatan paling dramatik di Eropah Barat selama berbulan-bulan.
Eropah kembali melakukan sekatan separa Sabtu lalu dengan sekurang-kurangnya tiga minggu sekatan dan kini merancang untuk melarang mereka yang tidak divaksin dari memasuki beberapa tempat yang dipanggil pilihan 2G.
Beberapa ribu penunjuk perasaan marah dengan langkah terbaharu dan berkumpul di Amsterdam. Ribuan lagi berarak melalui bandar selatan Breda berhampiran sempadan Belgium membawa sepanduk dengan slogan “Tiada Perintah Berkurung”.
Penganjur berkata mereka menentang rancangan Perdana Menteri Mark Rutte untuk melarang individu tidak divaksin memasuki bar dan restoran.
“Orang ramai mahu hidup, itulah sebabnya kami berada di sini,” kata penganjur Joost Eras.
“Tetapi kami bukan perusuh. Kami datang dengan aman,” katanya.
Di Austria kira-kira 40,000 penduduk keluar melakukan bantah di tengah Vienna berhampiran Canselori. – 21 November, 2021.
Komen