BARISAN Nasional (BN) harus menggunakan sepenuhnya kemenangan besar di Melaka bagi mengadakan pilihan raya umum tidak lama lagi kerana keputusan parti itu untuk bertanding secara solo dalam pilihan raya negeri terbukti betul, kata pemerhati politik.
Mereka memberitahu The Malaysian Insight kemenangan itu juga akan menguatkan kedudukan Ahmad Zahid Hamidi dalam Umno, manakala PKR perlu mengadakan bedah siasat untuk melihat semula prestasinya dalam pilihan raya.
BN memenangi 21 kerusi, Pakatan Harapan (PH) memperoleh lima manakala Perikatan Nasional (PN) dua dalam 28 kerusi yang dipertandingkan.
Pengarah Eksekutif Ilham Centre Hisomuddin Bakar berkata selain peratusan keluar mengundi yang rendah, perubahan undi daripada pengundi atas pagar juga menjadi punca kekalahan Pakatan Harapan.
Tambahnya, pengundi Cina juga bertukar kepada MCA walaupun DAP menang di kawasan bandar.
“Sudah tentu peratusan keluar mengundi yang rendah adalah faktor untuk PH tetapi pengundi atas pagar telah beralih kepada BN dan PH mesti memandang serius perkara ini.
Ia adalah satu petanda yang jelas,” kata Hisomuddin.
“Walaupun undi Cina berpecah, MCA memenangi dua kerusi. Ini bukan petanda baik untuk PH. Umno dan BN perlu melaksanakan pilihan raya secepat mungkin kerana mereka berada dalam momentum terbaik dan perlu mengekalkannya.
“Beliau berkata Umno tidak perlu mencari sekutu politik jika mereka dapat mengekalkan momentum ini.
“BN tidak akan kembali kepada Bersatu. Mungkin PAS akan melihat semula kerjasama mereka dalam Muafakat Nasional. BN boleh bergerak secara solo dalam pilihan raya umum,” katanya.
Dr Mazlan Ali dari Universiti Teknologi Malaysia senada dengan Hisomuddin namun berpendapat BN perlu bertanding dalam PRU akan datang tanpa PAS.
Beliau berkata kekalahan PH adalah disebabkan faktor Dr Mahathir Mohamad yang memilih untuk tidak menyebelahi pakatan pembangkang pada pilihan raya negeri.
“Ini adalah keputusan yang tidak dijangka, kami menjangkakan persaingan sengit. Ini menunjukkan bahawa keputusan Umno untuk pergi secara solo adalah tepat. Kedudukan Zahid semakin kukuh dan pemimpin Umno yang pro-Bersatu akan goyah,” kata Hisomuddin.
“Zahid kini mempunyai lebih kekuatan dalam pemilihan parti akan datang dan blok yang menyokongnya sebagai presiden.
“BN akan menuju PRU15 tanpa PAS dan Bersatu.
“Mereka mahu kembali sebagai satu-satunya parti Melayu yang dominan sebelum PRU15 dan sebagai satu-satunya parti Melayu dalam kerajaan,” kata ahli akademik itu.
“Bagi PH, mereka yang mengundi gabungan itu sebelum ini berbuat demikian untuk Dr Mahathir. Tanpa Dr Mahathir orang Melayu telah meninggalkan PH. PH memerlukan strategi baharu untuk meningkatkan sokongan orang Melayu,” katanya lagi.
Pilihan raya negeri itu diadakan selepas empat Adun – Idris Haron (BN-Sungai Udang), Nor Azman Hassan (BN-Pantai Kundor), Norhizam Hassan Baktee (Bebas-Pengkalan Batu) dan Noor Effandi Ahmad (Bersatu-Telok Mas), menarik sokongan kepada Ketua Menteri Sulaiman Md Ali bulan lalu, sekali gus membawa kepada pembubaran dewan undangan negeri.
Melaka mempunyai 476,037 pengundi. Suruhanjaya Pilihan Raya mengumumkan peratusan keluar mengundi ialah 65.85%.
Pemerhati politik berpendapat peratusan keluar mengundi yang rendah boleh menguntungkan BN. Pada PRU14 lalu, apabila PH memenangi negeri itu, peratusan keluar mengundi adalah 84.7%. – 21 November, 2021.
Berita penuh di sini.
Komen