Umno menang besar di Melaka


K. Kabilan Noel Achariam

Pengerusi BN, Zahid Hamidi pada sidang media di Seri Cendana Ayer Keroh, Melaka. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 20 November 2021.

UMNO kembali berkuasa di Melaka dengan bergaya apabila mengetuai Barisan Nasional (BN) menang besar pilihan raya negeri menyapu 21 daripada 28 kerusi Dewan Undangan Negeri, membolehkannya membentuk sebuah kerajaan dengan majoriti dua pertiga.

Umno yang dibantu kempen Najib Razak menang 17 kerusi sementara rakannya dalam BN MCA menang dua kerusi dan MIC satu.

Pesaing BN, Perikatan Nasional (PN) dan PH, mengalami kekalahan teruk biarpun menunjukkan keyakinan tinggi semasa proses pilihan raya negeri ini bermula.

PN hanya menang dua kerusi melalui calon Bersatu, sementara calon PAS dan Gerakan tidak menang sebarang kerusi.

PH pula menang lima kerusi, iaitu empat melalui DAP dan satu oleh Amanah. PKR yang diketuai pengerusi PH Anwar Ibrahim gagal menang satu pun daripada 11 kerusi yang ditandinginya.

Antara nama besar calon PKR yang kalah termasuk ketua penerangan parti Shamsul Iskandar Mohd Akin yang bertanding di Paya Rumput dan bekas ketua menteri Melaka Idris Haron, yang penyertaannya bertanding atas tiket PH mencetuskan kontroversi sebelum ini.

Idris adalah antara empat wakil rakyat yang menarik sokongan kepada bekas ketua menteri Sulaiman Mohd Ali sehingga membawa kepada pilihan raya negeri ini.

Dalam pilihan raya umum yang lalu Umno menang 13 kerusi sementara DAP lapan, PKR tiga, manakala Amanah dan Bersatu masing-masing dua kerusi.

Keputusan PRN Melaka ini tamparan kuat kepada pengerusi PN Muhyiddin Yassin yang juga presiden Bersatu, serta kepada Anwar. Kedua-dua mereka kini terpaksa merencanakan semula strategi untuk menuju pilihan raya umum akan datang, terutamanya berkait dengan soal kerjasama politik.

PN yang menggunakan imej Muhyiddin sebagai tema utama kempen di Melaka juga perlu menentukan hubungannya dengan Umno di peringkat persekutuan.

PH menerima kekalahan malam ini dengan setiausaha agungnya Saifuddin Nasution berkata ia harus menerima suara rakyat.

Pengerusi PH negeri Adly Zahari sementara itu menyifatkan jumlah pengundi yang rendah punca utama kekalahan mereka.

Suruhanjaya Pilihan Raya mengumumkan jumlah mereka yang keluar mengundi hanya 65.85%.

Adly mengekalkan kerusi Bukit Katil dengan majoriti lebih 1,000 dalam pertembungan empat penjuru.

Umno menuju PRU15

Penganalisis politik percaya BN akan menggunakan keputusan PRN Melaka untuk mempersiapkan diri menghadapi PRU15.

Pensyarah di University of Tasmania, James Chin berkata kemenangan BN di Melaka adalah kemenangan bagi Najib.

“Ini juga menunjukkan BN sudah bangkit daripada kekalahan dalam pilihan raya lepas.

“Najib pemimpin utama dalam kempen di Melaka, jadi ini kemenangan besar baginya.

“Kalau pola ini berulang dalam PRU15 dan sekiranya Umno menang besar, jelas bahawa Najib akan terlepas daripada perbicaraan rasuahnya,” katanya.

Tambahnya, yang rugi besar dalam PRN Melaka ialah PN sementara bagi PH, yang rugi ialah PKR.

Chin bagaimanapun tidak menafikan keputusan pilihan raya ini mungkin dipengaruhi faktor sekatan kempen.

Sementara itu, pensyarah politik di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia Dr Tunku Mohar Tunku Mohd Mokhtar melihat kemenangan BN menunjukkan sokongan akar umbinya yang kuat di Melaka.

“Lebih mudah untuk ia menggerakkan pengundinya sementara PH bergantung pada isu dan kesediaan penyokongnya untuk keluar mengundi,” katanya.

Beliau pula melihat yang rugi besar ialah PH sementara PN tidak menunjukkan pengaruhnya.

“Tetapi ini belum lagi trend untuk seluruh negara. Ini bukan tempat PAS,” katanya. – 20 November, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen