PAKATAN Harapan menerima kekalahan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan mengucapkan tahniah terhadap Barisan Nasional selepas gabungan itu memperoleh keputusan yang cukup memberangsangkan.
Setiausaha Agung PH Saifuddin Nasution berkata keputusan pengundian perlu dianalisis secara berkaedah.
“Walaupun mendapat mandat daripada rakyat Melaka pada 2018, kerana keadaan politik yang tidak stabil, kita tidak dapat menyempurnakan penggal tersebut.
“Bagaimanapun, kita mesti menerima mandat rakyat hari ini kerana ia dilakukan melalui peti undi,” katanya pada sidang media di Melaka.
Suruhanjaya Pilihan Raya mengumumkan Barisan Nasional memenangi lebih separuh daripada kerusi yang dipertandingkan dalam PRN Melaka sebentar tadi.
“BN telah memenangi 15 daripada 28 kerusi,” kata Pengerusi SPR Abdul Ghani Salleh dalam sidang media malam ini.
Keputusan rasmi masih dalam pengiraan tetapi unjuran semasa BN akan memenangi 21 daripada 28 kerusi manakala PH bakal memperoleh lima. Perikatan Nasional memenangi dua kerusi.
Abdul Ghani berkata proses pilihan raya berjalan lancar dan kemenangan BN disahkan kira-kira jam 9.40 malam ini.
Ketua pilihan raya itu bagaimanapun tidak memberikan butiran lanjut mengenai keputusan parti lain atau peratusan keluar mengundi.
Sebanyak 217 pusat mengundi dan 1,109 saluran di 28 kerusi DUN.
Pada PRN kali ini, seramai 112 calon daripada BN, Pakatan Harapan (PH), and Perikatan Nasional (PN), Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra), Parti Perikatan India Muslim Nasional (Iman) dan Bebas bertanding.
Sementara itu, Pengerusi PH Melaka Adly Zahari berkata kekalahan itu disebabkan peratusan keluar mengundi yang rendah.
“Tidak dapat dinafikan bahawa dari awal lagi, kami telah memberitahu semua orang bahawa harapan kami adalah peratusan keluar mengundi melebihi 70%. Kami juga tahu pandemik Covid-19 akan menjejaskan kadar peratusan keluar mengundi.
“Cabaran terbesar kami ialah menghantar mesej kepada rakyat. Walaupun sudah memberikan yang terbaik melalui media sosial, ia tidak mencukupi. Kita akan kaji (apa yang silap),” katanya pada sidang media yang sama.
Ketua penyelaras whip PH Anthony Loke berkata pakatan itu perlu berusaha keras untuk mendapatkan jumlah yang ada pada pilihan raya umum lalu supaya berjaya pada pilihan raya umum ke-15.
“Ini adalah cabaran besar. Jika dilihat peratusan keluar mengundi kali ini, ia jatuh agak ketara berbanding pilihan raya lalu.
“Ini antara faktor yang menyebabkan kami gagal mempertahankan banyak kerusi yang kami menangi sebelum ini,” katanya. – 20 November, 2021.
Komen